Dengan Liga Super bakal bermula tidak lama lagi, kelab-kelab mula berusaha menarik penyokong untuk datang ke stadium. Kelantan tidak ketinggalan dalam hal ini dengan memperkenal pas bermusim bermula dengan harga RM93.
Pengumuman pas bermusim dan jenis kategori pas yang boleh didapatkan penyokong dibuat di laman media sosial Kelantan hari ini.
Terdapat lima pakej yang ditawarkan iaitu Pas Keahlian, Pas Bermusim Premier, Pas Bermusim Platinum, Pas Bermusim Superb dan Pas Bermusim Couple VIP.
Setiap pakej mempunyai pelbagai kelebihan yang tersendiri. Antara kelebihan yang ditawarkan ialah penginapan percuma dan diskaun penginapan di Hotel Zamburger, tiket percuma, pintu masuk khas dan jersi replika pasukan Kelantan.
Para penyokong yang berminat mendapatkan pakej pas bermusim yang ditawarkan boleh pergi ke laman sesawang https://seasonpass.trwkelantanfc.com/ untuk maklumat lanjut.
Kehadiran para penyokong di Stadium Sultan Muhammad IV diharap dapat memacu pasukan dalam saingan Liga Super musim ini.