Kelantan Red Warrior Kongsi Perancangan Jangka Panjang
MakanBola
Kelantan Red Warrior FC

Pengurusan Kelantan Red Warrior FC (KRW FC) mula menggariskan perancangan jangka panjang pasukan itu mengikut tiga fasa.

Ini selepas pengurusan kelab mendedahkan perancangan KRW2030 untuk memastikan Kelantan RW kekal stabil dan mampu bersaing dalam Liga Malaysia (Liga M).

Fasa pertama merangkumi musim 2025/26 menyaksikan penubuhan Kelantan RW secara rasmi, pengenalan model kewangan kelab dan bersaing dalam liga domestik negara.

Fasa pertama mula direalisasikan apabila pasukan Pantai Timur itu sah beraksi dalam Liga A1 Semi-Pro musim 2025/26.

Selain itu, Kelantan RW turut mengorak langkah dengan membawa masuk jurulatih berpengalaman, Irfan Bakti Abu Salim. Kelantan RW juga dilihat sibuk mengenal pasti bakat-bakat baru yang boleh diketengahkan dalam pasukan itu.

Fasa kedua merangkumi 2026 hingga 2030 pula menyaksikan sasaran kekal stabil dalam Liga M. Kelantan RW turut memiliki misi membangunkan akademi mereka sendiri.

Kelantan RW berharap misi ini dapat dicapai dengan menambah baik kemudahan padang latihan, menjalankan program akar umbi dan membina jenama kelab menerusi media sosial dan acara komuniti.

Fasa ketiga pula merangkumi musim 2031 hingga 2035. Fasa tersebut menyaksikan Kelantan RW menjana pendapatan stabil, meningkatkan pendapatan komersial dan layak ke pertandingan peringkat Asia.

Pengurusan kelab berharap semasa fasa ini, Kelantan RW memiliki penajaan jangka panjang dengan rakan kongsi strategik dan menerima pertambahan dari segi pendapatan komersial.

Peningkatan pendapatan komersial dijana menerusi hak penyiaran dan jualan cenderamata. Kelantan RW juga berharap tempoh ini menyaksikan mereka dapat merekrut pemain berkualiti termasuk pemain import.

Kelantan RW bakal bersaing dalam Liga A1 Semi-Pro bersama pasukan-pasukan hebat termasuk Johor Darul Ta’zim (JDT) II, Selangor FC II dan Persatuan Bola Sepak Perak (PAFA).