Kelantan Red Warrior FC (KRW FC) mula rancak membuat persiapan menghadapi saingan Liga A1 Semi-Pro musim 2025/26.
Ini jelas kelihatan apabila pasukan Pantai Timur itu berjaya mendapatkan enam pemain berpengalaman yang pernah beraksi dalam Liga Malaysia (Liga M).
Enam pemain tersebut ialah Faiz Nasir, Muhaimin Izzudin, Zuasyraf Zulkiefle, Arham Khussyairi, Aikal Daniel dan Muhammad Mohd Fauzi.
Kesemua perpindahan enam pemain ini diumumkan di platform rasmi Kelantan RW. Faiz kembali ke Kelantan selepas sebelum ini beraksi untuk Kedah Darul Aman FC (KDA FC).
Muhaimin, Muhammad dan Zuasyraf masing-masing tiba selepas tidak lagi bersama satu lagi pasukan Kelantan, Kelantan Darul Naim FC (KDN FC).
Arham pula kembali ke Kelantan selepas berkelana selama dua musim bersama pasukan Kuching City FC. Aikal beraksi dalam saingan Piala MFL bersama Sri Pahang FC.
Kelibat enam pemain ini dijangka ditagih Irfan Bakti Abu Salim menjelang aksi persahabatan pertama Kelantan RW pada Julai ini.
Kelantan RW bakal berentap dengan juara Piala Malaysia 2001, Terengganu FC dalam aksi persahabatan pertama pada 4 Julai ini.