Pertemuan setempat Pantai Timur bakal menjadi salah satu aksi pemanas badan Kelantan Red Warrior FC (KRW FC).
Ini selepas pasukan itu bakal berdepan juara Piala Malaysia 2001, Terengganu FC untuk aksi pra-musim pada 4 Julai ini. Perlawanan itu diumumkan Kelantan RW di platform rasmi mereka.
“Bukan sekadar perlawanan. Ia adalah suasana perang. KRW FC (dan) TFC. Pertembungan semangat dan warisan (pada) 4 Julai 2025. Berada di sana. Rasa bahangnya,” kata kelab dalam satu kenyataan.
Pertembungan di Stadium Sultan Muhammad IV (SSMIV) ini bukan saja membantu kedua-dua pasukan mempersiapkan barisan pemain bagi menghadapi musim 2025/26.
Malah, ini dilihat membakar semangat penyokong Kelantan RW dan Terengganu untuk memberi sokongan kepada kedua-dua pasukan itu.
Penyokong Kelantan RW yang bergelar ahli rasmi kelab boleh mendapatkan tiket pada harga RM1.00
Aksi ini juga bakal memberi peluang kepada penyokong melihat pemain-pemain baharu yang beraksi untuk Kelantan RW dan Terengganu.
Terengganu kini dikaitkan dengan perpindahan dua bekas tonggak Sri Pahang FC, Saiful Jamaluddin dan Baqiuddin Shamsuddin.
Kelantan RW pula memburu dua tonggak import dari Afrika dan Eropah bagi memantapkan pasukan untuk kempen Liga A1 Semi-Pro.