Jurulatih Terengganu FC, Badrul Afzan Razali mengakui kelekaan pada separuh masa pertama hampir menyebabkan pasukan itu dikejutkan Negeri Sembilan FC.
Peteh mengesahkan kemaraan ke separuh akhir Piala Malaysia apabila meraih kemenangan 4-2 dalam aksi suku akhir kedua di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin (SSMZA)
Pada awalnya, Sang Rusa mengikat kedudukan agregat 2-2 menerusi penalti Hadin Azman dan A. Selvan. Akhyar Rashid dan Safawi Rasid kemudiannya memastikan Terengganu kembali mendahului 4-2 secara agregat semasa rehat separuh masa.
Gol Azam Azmi Murad dan Shahrul Nizam Ros Hasni pada babak kedua memastikan Peteh meraih kemenangan 6-2 secara agregat pada akhir perlawanan.
Badrul mengakui meskipun Terengganu mendominasi perlawanan, kelekaan terutama di bahagian pertahanan menyebabkan pasukan itu dibolosi sebanyak dua kali.
“Cemas itu memang cemaslah. Kita tengok secara keseluruhan, kita mengawal permainan pada babak pertama dan babak kedua.
“Tapi kita leka sedikit di belakang menyebabkan kita tidak tenang bila Negeri Sembilan menyerang dan menjaringkan gol,” katanya dalam sidang media pasca-perlawanan semalam.
Pada masa sama, beliau turut memuji kesungguhan pemain Terengganu untuk bangkit pada separuh masa kedua dan meraih penamat terbaik untuk tahun 2024.
“Pemain-pemain bangkit pada separuh masa kedua dan dilihat bersedia untuk bermain pada separuh masa kedua (untuk mendapatkan kemenangan)
“Jadi, terima kasih sekali lagi kepada pemain-pemain (atas semangat juang yang ditampilkan),” tambahnya.
Kemenangan ini menyaksikan Terengganu bakal berentap dengan Johor Darul Ta’zim (JDT) di peringkat separuh akhir. Pertembungan dua pasukan ini ibarat ulangan final Piala Malaysia 2023.
Kedua-dua pasukan bakal bertemu di SSMZA untuk aksi separuh akhir pertama pada 17 Januari 2025. Ini disusuli aksi separuh akhir kedua di Stadium Sultan Ibrahim (SSI) pada 1 Februari 2025.