Kelibat Pemain Jersi No.13 JDT Cetus Tanda Tanya
MakanBola
Johor Southern Tigers

Tumpuan peminat Johor Darul Ta’zim (JDT) secara tiba-tiba beralih kepada kelibat pemain berjersi nombor 13 ketika aksi persahabatan pada Jumaat.

JDT meneruskan aksi pra musim dengan turun menentang Tanjong Pagar United dalam sebuah perlawanan persahabatan di Stadium Sultan Ibrahim semalam sebagai persiapan bagi menghadapi saingan Liga Super minggu hadapan.

Kemenangan besar berjaya dicatatkan oleh skuad kendalian Xisco Munoz ini dengan keputusan 6-0, menerusi dua jaringan masing-masing daripada Bergson, Shahab Zahedi dan Marcus Guilherme di setiap babak permainan yang dimainkan.

Di sebalik kemenangan bergaya ini, fokus para peminat pasukan Harimau Selatan bagaimanapun tertumpu terhadap kelibat seorang pemain yang tak dikenali dan memakai jersi bernombor 13 dalam perlawanan persahabatan tersebut.

Foto pemain berjersi nombor 13 itu tular di laman Facebook apabila salah seorang peminat memuat naik, dengan tujuan untuk mengenalpasti identiti individu tersebut yang diturunkan sebagai tonggak gantian oleh pengendali JDT.

Semakan di laman facebook Johor Southern Tigers, sudah dihujani peminat yang mula berteka-teki mengenai identiti pemain tersebut dengan nama Jon Yeabsera Landa Suarez menjadi sebutan ramai, hasil ‘siasatan’ pantas oleh para netizen.

Walau bagaimanapun, kelibat pemain tersebut masih kekal misteri tanpa ada sebarang pengesahan rasmi oleh pihak pengurusan JDT meskipun nama Jon Yeabsera yang pernah menyarung jersi Real Sociedad C itu menjadi bualan hangat.

Setakat ini, JDT sudah membawa masuk 8 pemain baharu antaranya Brad Tapp, Kevin Medina, Gabriel Palmero, Carlos Akapo, Dejan Petrovic, Matias Nahuel, Stoichkov dan Shahab Zahedi menjelang sepak mula aksi Liga Malaysia.