Kenyataan Terengganu Tentang Sekatan FIFA & Bayaran Kepada Ivan Mamut
MakanBola
TERENGGANU FC

Kelab Terengganu FC telah mengeluarkan satu kenyataan tentang isu sekatan FIFA & bayaran kepada bekas penyerang berbisa Sang Penyu, Ivan Mamut yang tular baru-baru ini.

“Terengganu Football Club Sdn. Bhd. (TFCSB) ingin memberikan penjelasan berhubung isu sekatan perpindahan yang sedang diperkatakan. Pihak kelab telah melaksanakan tanggungjawab secara profesional serta mematuhi segala prosedur yang ditetapkan di bawah peraturan bola sepak antarabangsa.”

“Untuk makluman, TFCSB telah membuat sebahagian pembayaran kepada pemain import, Ivan Mamut, sebagai komitmen kelab dalam menyelesaikan perkara ini secara teratur dan berhemah. Baki bayaran akan dijelaskan dalam tempoh yang telah ditetapkan, dan proses tersebut kini berada di bawah kawalan serta pemantauan rapi pihak kelab.”

“Sehubungan itu, pihak kelab telah mengemukakan bukti pembayaran kepada pihak pemain serta memaklumkan perkembangan tersebut kepada FIFA. TFCSB akan akur dan mematuhi sebarang keputusan yang dibuat selaras dengan peraturan yang berkuat kuasa.”

“TFCSB kekal komited untuk bertindak secara telus dan profesional dalam setiap urusan, di samping memastikan segala perkara berkaitan kelab diselesaikan mengikut garis panduan yang sah. Kelab akan memaklumkan perkembangan terkini sebaik sahaja menerima keputusan daripada FIFA setelah proses penyelesaian dimuktamadkan,” kata kelab Terengganu FC dalam satu kenyataan di laman media sosial.

Claim Money Packet TnG