Keputusan Penuh Undian 16 Pasukan Di Piala Malaysia
MakanBola
Johor Southern Tigers

Keputusan penuh undian 16 pasukan bagi saingan Piala Malaysia telah dimuktamadkan, sekali gus membuka tirai persaingan sengit antara pasukan-pasukan terbaik tanah air.

Saingan kali ini tampil lebih meriah apabila tiga pasukan Liga A1 Semi-Pro bakal berentap bersama 13 pasukan Liga Super.

Pada edisi lepas, piala berprestij ini turut menyaksikan penyertaan tiga pasukan daripada liga berkenaan, sekali gus menambah kehangatan dan daya saing kejohanan.

Tiga pasukan yang dimaksudkan ialah Perak FA, UM-Damansara United dan Kelantan Red Warrior, yang dipilih berdasarkan kedudukan mereka dalam kelompok teratas Liga A1.

Perak FA menamatkan saingan pusingan pertama di tempat kedua, manakala UM-Damansara United berada di posisi keempat.

Walaupun Kelantan Red Warrior mengakhiri kempen liga di tangga ketujuh, pasukan itu tetap layak ke pentas Piala Malaysia susulan penarikan diri pasukan di tempat kelima dan keenam, iaitu Kedah FA dan Armed Forces.

Sementara itu, Selangor II dan Johor Darul Ta’zim (JDT) II yang masing-masing berada di tangga pertama dan ketiga Liga A1 disahkan tidak menyertai Piala Malaysia lebih awal berikutan status mereka sebagai kelab ‘feeder’.

Dalam pada itu, lapan pasukan terbaik pusingan pertama Liga Super musim 2025/26 telah mengesahkan slot ke pusingan 16 terbaik secara automatik berdasarkan kedudukan satu hingga lapan liga, iaitu Johor Darul Ta’zim (JDT), Kuching City, Selangor, Kuala Lumpur City, Terengganu, Negeri Sembilan, Brunei DPMM dan Sabah.

Berdasarkan undian yang dilakukan oleh Malaysian Football League (MFL), juara bertahan iaitu Johor Darul Ta’zim (JDT) bakal berdepan tentangan pasukan PDRM.

Selangor pula tidak kurang hebatnya apabila bakal menentang ujian hebat Kelantan The Real Warrior pada pusingan 16 terbaik selain Sabah diuji Melaka.

Kuching City akan menentang Penang, Terengganu bakal berdepan cabaran UM-Damansara United sementara KL City diuji tentangan Perak FA.

Negeri Sembilan pula menanti cabaran Imigresen sementara Kelantan Red Warrior perlu mengatasi halangan Brunei DPMM.

Kedudukan pasukan 1, 4, 5, dan 8 berada pada bahagian sama manakala kedudukan 2, 3, 6, dan 7 pula bakal menjadi lawan menuju ke pusingan berikutnya.

Saingan Piala Malaysia 2025/26 dijadualkan bermula pada bulan Januari ini dengan perlawanan akhir sekitar bulan Mei 2026.