Apa yang dibimbangi jurulatih Sabah FC, Datuk Ong Kim Swee berkenaan Perak FC menjadi kenyataan semalam apabila diikat pasukan itu 2-2 di Stadium Likas.
Biarpun mempunyai kelebihan beraksi di gelanggang sendiri untuk aksi suku akhir pertama Piala Malaysia, Sabah sepatutnya berwaspada dengan cabaran The Bos Gaurus. Seandainya mereka leka, Perak tidak akan teragak-agak menghukum mereka.
Dan itu yang terjadi semalam apabila skuad Badak diikat Seladang dua kali. Sabah pada awalnya mendahului pada minit keempat menerusi penyerang kebangsaan, Darren Lok.
Bagaimanapun, kelebihan itu tidak bertahan lama apabila kapten Luciano Guaycochea menyamakan kedudukan untuk pelawat pada minit ke-10.
Cerita sama kembali berulang pada separuh masa kedua. Sabah menyangka telah meraih kemenangan menerusi penyerang Brazil, Ramon Machado pada minit ke-46.
Bekas pemain sayap kebangsaan, Wan Zack Haikal bagaimanapun memastikan peminat Badak hampa apabila menyumbat gol penyamaan pada minit ke-54.
Kini, Sabah perlu menang di Stadium Perak untuk aksi kedua suku akhir Piala Malaysia pada 25 September ini jika mahu layak ke separuh akhir.