Kerjasama MFL, FIFA & AFC Perkukuh Pendidikan Bola Sepak Malaysia
MakanBola
MFL

Kerjasama Malaysian Football League (MFL) dengan Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) dan Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) membantu memperkukuh pendidikan bola sepak negara.

Ini diterjemah dalam bentuk cadangan program pendidikan bola sepak dengan kerjasama Universiti Teknologi Mara (UiTM), FIFA dan AFC.

Ketua Pegawai Eksekutif MFL, Mohd Shazli Shaik Mohd melihat program ini mampu membantu mana-mana individu terutama warga kelab-kelab Liga Malaysia (Liga M) memahami selok-belok dunia bola sepak.

“Kita nak mendidik anak-anak muda atau yang bekerja di kelab untuk mengambil program ini dengan khusus dan faham untuk bekerja dalam dunia bola sepak.

“Dari sudut komersial, pertandingan, penyiaran, kejurulatihan, fisioterapi dan sebagainya,” katanya dalam sesi meja bulat MFL baru-baru ini.

Shazli turut memaklumkan MFL sudah mengadakan beberapa perjumpaan dengan UiTM berhubung perkara ini.

Justeru, pengelola liga itu akan mengemukakan kemas kini terbaru cadangan program berkenaan dalam mesyuarat rakan kongsi MFL yang berikutnya.