Advertisements
Keselamatan Penyokong Perak & JDT Di Stadium Sultan Ibrahim Dikawal Baik
Liga Super
MakanBola
Perak FC

Kawalan keselamatan untuk aksi Liga Super antara Perak dan Johor Darul Ta’zim (JDT) di Stadium Sultan Ibrahim (SSI) mendapat pujian penyokong.

Aksi Perak dan JDT diadakan di SSI sebagai venue alternatif untuk mengelak perlawanan antara kedua-dua pasukan itu tertangguh buat kali ketiga.

Sebelum ini, usaha mengadakan perlawanan pada 17 Ogos dan 5 Oktober di Stadium Perak tidak dapat dilakukan. Ini disebabkan faktor cuaca hujan lebat dan keadaan padang yang digenangi air.

Pihak berkuasa berusaha memastikan aksi The Bos Gaurus dan Harimau Selatan berjalan lancar tanpa sebarang insiden. Atas sebab itu, pihak polis dan marsyal stadium bertindak mengiringi penyokong Perak yang hadir masuk ke SSI.

Perkara ini disedari seorang penyokong JDT bernama Mohd Alif Shadiqin dan dikongsikan menerusi satu hantaran di Facebook.

“Layanan penyokong Perak fc di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri. Perlawanan Liga Super Malaysia 2024 Perak FC vs Johor Darul Takzim FC.

“Dan di sini saya mewakili penyokong Johor ingin ucapkan ribuan terima kasih kepada anggota polis dan marsyal stadium yang iring penyokong Perak masuk ke dalam Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri,” katanya.

Perkongsiannya menarik perhatian ramai penyokong Perak yang berterima kasih dengan kesudian JDT mengalu-alukan mereka ke stadium berkenaan.

Bagi seorang penyokong bernama Nur Afiq, layanan sebegini membuatkannya teringin bertandang ke SSI lagi jika ada perlawanan membabitkan Perak dan JDT.

“Terima kasih saudara (kerana) berikan kami layanan yang terbaik. Insya Allah, kami tidak serik datang ke SSI,” katanya di ruang komen.

Komennya turut dipersetujui seorang penyokong lain bernama Mohd Zairul Zikri. “Terima kasih orang Johor sudi sambut kedatangan kami dengan baik,” ujarnya.

Aksi Perak dan JDT berakhir dengan kemenangan 5-0 buat pendahulu Liga Super itu. Hatrik Bergson da Silva dan dua gol Romel Morales memastikan kemenangan milik pasukan selatan tanah air itu.