Kim Pan-gon Bakal Berhadapan Newcastle
MakanBola
Ulsan HD

Sentuhan bekas jurulatih Harimau Malaya, Kim Pan-gon bakal ditagih K-League untuk menghadapi cabaran Newcastle United.

Korea Football News melaporkan jurulatih Ulsan HD itu dipilih badan pengendali liga itu sebagai jurulatih K-League All-Stars.

Pan-gon bakal dibantu pengendali Gwangju FC, Lee Jung-hyo sebagai penolong jurulatih. Skuad K-League All-Stars dijangka dibarisi ramai tonggak terkemuka liga berkenaan.

Antara nama yang berpotensi tersenarai untuk K-League All-Stars ialah Jo Hyeong-woo, Darijan Bojanic, Nana Boateng dan Joo Min-kyu.

K-League All-Stars dijadual bertemu dengan The Magpies pada 30 Julai ini di Stadium Piala Dunia Suwon. Aksi ini merupakan sebahagian daripada siri perlawanan Coupang Play Series.

Selain K-League All-Stars, Newcastle juga akan berdepan Tottenham Hotspur pada 3 Ogos ini. Aksi yang berlangsung di Stadium Piala Dunia Seoul bukan saja menampilkan kapten Korea Selatan, Son Heung-min.

Malah, perlawanan ini juga bakal menampilkan pengurus baru Tottenham Hotspur, Thomas Frank. Frank dibawa masuk menggantikan jurulatih sebelumnya, Ange Postecoglou.