Kim Pan-gon Enggan Ulas Keputusan Penalti Kuching City
MakanBola
SFC/KCFC

Jurulatih Selangor, Kim Pan-gon mengambil langkah ‘kunci mulut’ mengenai keputusan pengadil yang menghadiahkan sepakan penalti buat Kuching City ketika aksi Piala Malaysia pada Ahad.

Pertemuan separuh akhir pertama Piala Malayia menyaksikan Selangor serta Kuching City terikat seri 1-1 dalam perlawanan yang cukup epik di hadapan lebih 7,000 penonton di Stadium MBPJ.

Jaringan Chrigor Moraes di penghujung aksi menyelamatkan Selangor daripada kekalahan setelah Ngah Wanja cemerlang meletakkan Kuching City hasil sepakan penalti pada minit ke-41.

Keputusan pengadil itu menjadi perdebatan dalam kalangan penyokong apabila ada yang mendakwa Safuwan Baharudin terlebih dahulu memperoleh bola dan ada juga yang memiliki pendapat berbeza.

Ketika ditanya, Kim Pan-gon memilih untuk tidak bercakap mengenai keputusan tersebut kerana khuatir ulasan beliau bakal menjadi panjang lebar membabitkan keputusan oleh pengadil.

”Saya tak mahu bercakap mengenainya (keputusan pengadil memberikan sepakan penalti kepada Kuching City),” kata Kim Pan-gon ketika sidang media selepas perlawanan.

“Kalau saya bercakap, memang banyak yang saya akan ulas, tetapi saya enggan memberikan komen apa-apa berkenaan keputusan pengadil.”

Keputusan seri ini menyaksikan Selangor serta Kuching City masih miliki peluang yang seimbang untuk melangkah ke perlawanan akhir Piala Malaysia menjelang aksi separuh akhir kedua nanti.

Aksi timbal balik kedua Piala Malaysia antara Kuching City vs Selangor bakal berlangsung pada 18 April di Stadium Negeri dengan sepak mula perlawanan dijadualkan jam 8.15 malam.