Pengendali Selangor FC, Kim Pan-gon berharap Harith Haiqal Adam Afkar belajar daripada kesilapan yang berlaku dalam aksi kedua pusingan 16 Piala Malaysia.
Harith Haiqal bernasib malang apabila dibuang padang dalam aksi Selangor menentang Kelantan The Real Warriors FC (KTRW FC) di Stadium MBPJ.
Pada awalnya, pemain pertahanan kebangsaan itu hanya dilayangkan kad kuning selepas membuat terjahan ke atas Albert Kang.
Walau bagaimanapun, selepas melihat semula insiden itu di monitor, pengadil tidak teragak-agak melayangkan kad merah kepada bek tengah berusia 23 tahun.
Pan-gon menyifatkan apa yang berlaku sebagai satu pengajaran buat Harith Haiqal. Beliau berharap itu menjadikan bekas bek tengah Malaysia B-23 itu tampil lebih baik selepas ini.
“Saya fikir itu bukan satu tindakan kasual. Saya harap pengalaman ini dapat membantu beliau mengendalikan situasi dengan lebih baik dan bukan kad merah.
“Beliau masih muda dan saya harap beliau belajar daripada kesilapan ini,” katanya dalam sidang media pascaperlawanan.
Selangor mengesahkan kemaraan ke suku akhir apabila menewaskan Kelantan TRW 3-0. Selangor menang dengan keputusan agregat 5-1.