Timbalan Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Datuk Mohd Yusoff Mahadi mengumumkan Kim Pan Gon sebagai pengurus baharu Harimau Malaya.
Perkara ini selaras dengan cadangan Badan Siasatan Bebas Pasukan Harimau Malaya sebelum ini yang dipengerusikan oleh Datuk Dell Akbar Khan. Badan bebas itu telah memberi beberapa cadangan dan penambahbaikkan.
Antara cadangan yang dikemukakan adalah menjadikan ketua jurulatih sebagai pengurus pasukan. Menurut Yusof, pihak FAM telah menetapkan perkara itu sebaik sahaja Pan-gon diumum sebagai ketua jurulatih tempoh hari.
“Kita sudah menetapkan bahawa sebaik sahaja coach Kim dilantik sebagai ketua jurulatih pasukan kebangsaan, dia juga akan pegang jawatan sebagai pengurus pasukan.
Tambah Yusof perlantikan ini bagi mengelakkan lagi timbulnnya beberapa keralatan dan ketidaksefahaman dalam pasukan. Yusof juga menegaskan bahawa beliau tidak lagi menjawat jawatan sebagai pengurus pasukan.
“Jadi tidak ada timbul isu yang kata saya akan kembali buat pusingan U untuk menjawat semula jawatan sebagai pengurus pasukan,” katanya ketika ditemui Sinar di Wisma FAM pada Jumaat.
Dalam pada itu, Yusof optimis dengan kebolehan skuad Harimau Malaya pada pentas kelayakan Piala Asia kelak. Yusof menjelaskan kelebihan menjadi tuan rumah itu perlu Harimau Malaya manfaatkan sebaik mungkin dari segenap sudut.
“Dengan kelebihan bermain di sini, banyak benda yang boleh kita tinggalkan berbanding banyak persiapan yang perlu kita buat kalau pergi keluar negara.”
“Cuma kita kena gunakan kelebihan kita daripada segi latihan dan persiapan yang tidak serumit seperti sebelum ini. Jadi kita perlu pastikan pasukan benar benar bersedia untuk menempuh kelayakan itu,” kata Yusof.
Skuad Kim Pan-gon bakal diuji pada pusingan akhir kelayakan Piala Asia yang bermula pada 8 Jun. Ujian pertama buat Pan-gon menyaksikan Malaysia bakal berdepan Turkmenistan di Stadium Nasional Bukit Jalil.