Jurulatih Selangor FC, Kim Pan-gon memohon maaf kepada pengadil susulan kad kuning yang diterimanya dalam aksi suku akhir pertama Piala Malaysia menentang Negeri Sembilan FC.
Bekas jurulatih Harimau Malaya itu merasa tidak berpuas hati apabila gol Selangor pada minit ke-76 dibatalkan selepas pengadil menyemak gol itu di monitor.
Selepas gol tersebut dibatalkan, Pan-gon dilihat keluar dari kawasan teknikal Selangor dan menyatakan rasa tidak puas hati kepada pengadil. Hal ini memaksa pengadil melayangkan kad kuning kepada beliau.
Video insiden tersebut dikongsikan oleh wartawan Astro Arena, Fina Nasrom. Susulan itu, Pan-gon memohon maaf seandainya tindakannya itu melampaui batas sehingga memaksa pengadil melayangkan kad kuning.
“Itu sebahagian daripada permainan. Tugas kita biasanya untuk meminta penjelasan dengan pengadil tetapi kadangkala itu melampaui batas.
“Tapi saya berhak terima kad kuning, saya mohon maaf,” katanya dalam sidang media pascaperlawanan.
Selangor meraih kemenangan tipis 1-0 ke atas Negeri Sembilan dalam aksi suku akhir pertama Piala Malaysia.
Chrigor Moraes menyumbat gol kemenangan buat pasukan itu menerusi penalti pada minit akhir permainan.
Merah Kuning berharap dapat mempertahankan kelebihan gol itu dalam aksi timbal balik pada 14 Februari ini.