Pengendali skuad senior Malaysia, Kim Pan-gon mengakui bukan mudah buat skuad negara ingin mara ke pusingan 16 terbaik Piala Asia 2023.
Selepas berjaya layak secara merit buat kali pertama sejak 1980, Harimau Malaya diletakkan dalam Kumpulan E bersama Jordan, Bahrain dan pasukan ketiga terbaik Asia, Korea Selatan.
Ketiga-tiga pasukan bukan calang-calang kalau mengikut ranking terkini Persekutuan Bola Sepak Dunia (FIFA).
Korea Selatan menduduki ranking ke-23 dunia dengan Bahrain dan Jordan masing-masing menduduki ranking ke-86 dan 87.
Jurulatih Pahlawan Taeguk, Jurgen Klinsmann turut membawa 12 orang pemain yang berpangkalan di Eropah termasuk kapten, Son Heung-min bagi memperkuat cabaran mereka kali ini.
Pan-gon mengakui dengan kaliber yang dimiliki ketiga-tiga pasukan termasuk Korea Selatan, mereka mampu memberi cabaran getir kepada Harimau Malaya.
Namun begitu, pada masa sama, beliau percaya ini akan memberi motivasi kepada anak buahnya untuk menunjukkan kemampuan mereka bila Piala Asia 2023 membuka tirainya pada 12 Januari nanti.
“Saya fikir ini cukup bagus jika kita dpaat mengelak Korea Selatan dalam kalangan pasukan-pasukan lain di Pot 1.
Kita perlu memberi cerminan yang bagus kepada orang awam tetapi perbezaan dari segi kualiti (pasukan-pasukan) itu amat besar.
“Secara peribadi, saya tahu ini sukar. Tetapi dari perspektif Malaysia, perlawanan menentang Korea Selatan akan menjadi satu pembakar motivasi yang besar.
“Saya fikir kita boleh melakukannya. (Bila) kita bersaing dengan pasukan-pasukan yang kuat dan pemain-pemain akan lebih bermotivasi,” katanya bila ditemubual portal sukan Korea Selatan, Chosun Sports.
Malaysia bakal mengharungi aksi pemanas badan menentang Syria pada 8 Januari ini. Setelah itu, skuad negara akan mengalihkan fokus untuk kempen Kumpulan E.
Mereka akan membuka tirai Kumpulan E dengan menentang Jordan di Stadium Al Janoub pada awal pagi 16 Januari 2024.