Pengendali baharu Harimau Malaya, Kim Pan-gon yakin kelebihan beraksi di laman sendiri bakal menjadi kelebihan buat pasukan negara dalam Kelayakan Piala Asia 2023.
Malaysia telah dipilih sebagai salah satu venue tatkala perlawanan akan diadakan secara berpusat dan semua perlawanan mengikut format ‘single round robin’.
Namun begitu, pengendali berusia 53 tahun itu yakin bahawa aksi di gelanggang sendiri bakal memberi kelebihan buat pasukan kendaliannya untuk memberikan yang terbaik.
Menurut satu hantaran oleh wartawan, T. Avineshwaran, bekas jurulatih pasukan kebangsaan Hong-Kong ini bertekad untuk membantu pasukan negara untuk memungut sekurang-kurangnya tujuh mata daripada tiga aksi tersebut.
Sambil itu, beliau juga turut menegaskan bahawa Malaysia harus memandangkan serius cabaran yang dibawa oleh Bahrain tatkala pasukan yang berada pada kedudukan ke-89 dunia ini bakal menjadi halangan terbesar pasukannya.
Pan-gon juga berharap agar Harimau Malaya mampu untuk meraih enam mata ketika berdepan dengan Bangladesh dan juga Turkmenistan.
Bukan itu sahaja, keyakinan ini disuarakan bertitik tolak daripada aksi yang bakal berlangsung di Malaysia bakal memberi suntikan semangat buat para pemain di atas padang.
Beliau melihat peluang ini harus dimanfaatkan dengan sebaik mungkin bagi memastikan Malaysia memperoleh satu daripada 11 slot yang ditawarkan.