Kisah Kuching City & Revolusi Senyap Bola Sepak Sarawak
MakanBola
Kuching City FC

Kuching City terus mencipta sejarah tersendiri apabila berjaya melangkah ke pentas final Piala Malaysia buat kali pertama, sekali gus menandakan kebangkitan luar biasa kelab dari Bumi Kenyalang itu dalam landskap bola sepak tanah air yang semakin kompetitif.

Kejayaan menyingkirkan Selangor di pentas separuh akhir bukan sahaja mencuri perhatian peminat bola sepak tempatan, malah menjadi simbol bahawa pembangunan tersusun mampu membawa sesebuah pasukan melangkaui jangkaan dalam tempoh yang tidak terlalu lama.

Presiden kelab, YB Dato Fazzrudin Abdul Rahman tidak menyembunyikan rasa bangga beliau terhadap pencapaian ini apabila menyifatkannya sebagai satu detik bersejarah yang cukup bermakna buat seluruh warga pasukan dan juga penyokong di Sarawak.

“Sudah tentu saya berasa gembira dengan pencapaian kelab untuk melangkah ke peringkat akhir Piala Malaysia kerana ini bukan hal kecil dan bagi kami ini adalah satu kebanggaan yang bersejarah,” katanya ketika ditemui selepas perlawanan.

Beliau turut menegaskan bahawa kejayaan ini bukan sekadar milik Kuching City semata mata, sebaliknya menjadi suntikan harapan kepada pemain pemain muda di Sarawak bahawa mereka juga mampu bersaing di peringkat tertinggi jika diberikan platform yang tepat.

“Bagi kami, ini bukan sahaja kejayaan pasukan tetapi ia memberi pengharapan kepada semua pemain bola sepak di Sarawak bahawa kita boleh mencapai tahap ini dan Kuching City merupakan salah satu platform untuk mereka berjaya,” jelasnya lagi.

Di sebalik kejayaan ini, beliau mendedahkan bahawa pendekatan sistematik dan pembahagian tugas yang jelas menjadi antara kunci utama yang memastikan setiap individu dalam pasukan memahami peranan masing masing dengan lebih efektif.

“Kami (pengurusan, jurulatih dan pemain) membahagikan tugas secara spesifik. Kami berbincang, menetapkan objektif dan merancang langkah demi langkah, dan saya sentiasa menekankan supaya tidak panik sebaliknya kekal dengan perancangan yang telah dibuat,” ujarnya.

Pendekatan yang tidak tergesa gesa serta penekanan kepada konsistensi membolehkan Kuching City membina kekuatan secara berperingkat, sekali gus membentuk sebuah pasukan yang stabil dan mampu bersaing dalam situasi tekanan tinggi.

“Tiada perkara drastik tetapi kami bergerak sedikit demi sedikit dan Alhamdulillah dengan pendekatan ini kami berjaya ke final selepas sepuluh tahun kelab ini ditubuhkan,” tambah beliau lagi.

Lebih penting, beliau melihat kejayaan ini sebagai permulaan kepada usaha lebih besar untuk mengembalikan kegemilangan bola sepak Sarawak dengan memberi keutamaan kepada pembangunan pemain tempatan sebagai tunjang masa depan pasukan.

Kini, Kuching City bukan sahaja sedang memburu kedudukan kedua Liga Super, malah bakal berdepan Johor Darul Ta’zim di pentas final Piala Malaysia dalam misi melengkapkan kisah indah mereka musim ini.