Memberi harapan palsu kepada pasukan lawan dan kemudiannya mengecewakan mereka pada minit akhir nampaknya sudah menjadi tabiat Dato’ Ong Kim Swee dan barisan pemain Sabah.
Menjadi mangsa terbaru Sabah, adalah Sri Pahang yang berputih mata, menggigit jari di laman sendiri dengan kebangkitan dramatik lewat permainan skuad tambadau.
Mereka sudah di ambang kekalahan apabila skuad Dollah Salleh berada di depan lima minit sebelum perlawanan berakhir, tetapi jaringan oleh Dominic Tan pada minit ke-90 dan Park Tae Su dua minit kemudian menghadiahkan kemenangan tidak diduga buat Sabah.
Tamat perlawanan, Ong Kim Swee memuji karakter hebat ditunjukkan pemainnya dan menekankan kunci kemenangan Sabah adalah bermain sebagai satu pasukan.
“Menuju ke penghujung perlawanan, kita tahu kita perlukan kemenangan dan apabila kita mula bergerak lebih ke hadapan untuk mencari gol, di situ ada kelonggaran di pertahanan dan kita dibolosi.
“Selepas dibolosi, pemain tidak putus asa, di sini kita boleh nampak karakter setiap pemain, mereka tahu jika dapat satu gol, kemungkinan gol kedua akan hadir, dan itulah yang berlaku dalam setiap perlawanan yang kita lalui musim ini. Kita selalu ketinggalan dan bangkit semula, itu karakter yang cukup baik.
“Keyakinan itu penting, kita bukan meletakkan sandaran kepada seseorang individu atau pemain tertentu. Kita telah bermain banyak perlawanan dan jaringan gol yang dilakukan adalah sama rata. Kita tiada seorang pemain yang khusus untuk selalu jaringkan gol.
“Mereka ada kepercayaan walau siapapun diturunkan, mereka bukan berusaha atau bermain untuk diri sendiri tetapi bermain untuk pasukan. Kita bukan one man team tetapi kesemua pemain (kesebelasan atau gantian) menunjukkan semangat juang tinggi.
“Ini penting dalam bolasepak, kita tidak boleh mengaku kalah, walaupun tinggal seminit atau dua, macam-macam boleh berlaku,” ujar Ong Kim Swee ketika ditemui MakanBola.
Tiga mata penting yang diraih meletakkan Sabah dalam landasan yang cukup baik untuk menamatkan musim selaku naib juara Liga Super 2022, seterusnya menyambar slot bermain di Piala AFC musim depan.