Pasukan Liga A1 Semi-Pro, KL Rovers berpotensi menarik diri menjelang aksi pusingan 16 pasukan terbaik Piala Malaysia 2024/25 menentang Johor Darul Ta’zim (JDT).
Sebelum ini, pasukan yang berpangkalan di Lembah Klang itu merupakan sebahagian daripada pasukan Liga A1 yang layak ke Piala Malaysia.
Selain KL Rovers, pendahulu liga, Melaka FC dan PT Athletic FC turut membawa cabaran liga itu dalam kejohanan berprestij itu.
Undian pusingan 16 terbaik Piala Malaysia menyaksikan ketiga-tiga pasukan berdepan cabaran sukar. PT Athletic dan Melaka masing-masing diundi bertemu dengan Sabah FC dan Terengganu FC.
Manakala KL Rovers pula berdepan juara empat trofi musim 2023, JDT. Walau bagaimanapun, wartawan Astro Arena, Zulhelmi Zainal Azam melaporkan pasukan itu difahamkan enggan beraksi untuk perlawanan seterusnya.
Beliau memaklumkan situasi ini berlaku disebabkan isu tunggakan gaji yang dihadapi pasukan itu. Mengikut jadual perlawanan, KL Rovers sepatutnya menentang Harimau Selatan di Stadium Sultan Ibrahim (SSI) pada 20 November ini.
“Isu tunggakan gaji, pemain KL Rovers difahamkan enggan beraksi untuk perlawanan seterusnya. Kelab Liga A1 itu akan bertemu JDT untuk aksi pusingan 16 Piala Malaysia, di SSI Rabu ini,” katanya di X.
KL Rovers merupakan naib juara Liga A1 Semi-Pro musim 2023. Pasukan itu ketika ini menghuni kedudukan ketiga liga dengan 41 mata selepas mengharungi 18 perlawanan.
Walau bagaimanapun, belum ada keputusan rasmi yang diputuskan pengurusan KL Rovers tentang perkara ini.