Senarai aksi 16 pasukan bagi saingan Piala Malaysia 2024 mencuri tumpuan terutamanya Johor Darul Ta’zim (JDT) dan juga Selangor.
Saingan kali ini tampil penuh kelainan apabila tiga pasukan Liga A1 Semi-Pro berentap dengan 13 pasukan Liga Super.
Pada saingan edisi 2023, terdapat hanya penyertaan dua pasukan liga berkenaan sekaligus menambah kehangatan saingan piala berprestij itu.
Tiga pasukan yang dimaksudkan ialah Melaka FC, PT Antlers FC dan KL Rovers FC. Tiga pasukan ini terpilih selepas menduduki kelompok tiga teratas pusingan pertama Liga A1 Semi-Pro musim 2024/25.
8 pasukan Liga Super telah layak ke pusingan 16 terbaik secara automatik berdasarkan kedudukan 1-8 dalam liga iaitu JDT, Selangor, Sabah, Terengganu, PDRM, Kuching City, Perak dan KL City.
Berdasarkan undian yang dilakukan oleh Malaysian Football League (MFL), juara bertahan iaitu Johor Darul Ta’zim (JDT) bakal berdepan tentangan pasukan Liga A1, KL Rovers.
Selangor pula tidak kurang hebatnya apabila bakal menentang ujian hebat Sri Pahang FC pada pusingan 16 terbaik selain Sabah diuji PT Athletic.
PDRM akan menentang Negeri Sembilan, Terengganu bakal berdepan cabaran Melaka FC sementara KL City diuji tentangan Kedah Darul Aman.
Perak pula menanti halangan Kelantan Darul Naim sementara Kuching City perlu mengatasi cabaran Penang FC.
Kedudukan pasukan 1, 4, 5, dan 8 berada pada bahagian sama manakala kedudukan 2, 3, 6, dan 7 pula bakal menjadi lawan menuju ke pusingan berikutnya.
Saingan Piala Malaysia 2024/25 dijadualkan bermula pada bulan November ini dengan perlawanan akhir sekitar bulan Mei 2025.