Advertisements
KLSC Raih RM8.5 Juta Hasil Sewaan Venue Acara Bukan Sukan
UltraSukan
UltraSukan
Perbadanan Stadium Malaysia

Kuala Lumpur Sports City (KLSC) mencatat hasil berjumlah RM8.5 juta menerusi sewaan venue bagi acara bukan sukan sepanjang tahun 2024.

Perkara ini diumumkan oleh Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh ketika hadir ke Dewan Rakyat bagi menjawab persoalan mengenai usaha meningkatkan hasil melalui penganjuran lebih banyak konsert.

Menurut Hannah, pihak kementerian sentiasa bekerjasama dengan agensi terlibat bagi mengurus dan menyelenggara venue-venue di KLSC bagi keselesaan para pengguna.

”Kementerian Belia dan Sukan (KBS) sentiasa memastikan Perbadanan Stadium Malaysia bertanggungjawab dalam pengurusan venue di KLSC diurus dan diselenggara supaya dapat dimanfaatkan secara optimum.”

Tambah beliau, sekitar RM2 juta telah berjaya dicatat hasil sewaan venue melalui penganjuran acara-acara sukan yang diadakan di KLSC sejak dari Januari sehingga Oktober 2024.

”Bagi tahun ini sahaja sehingga Oktober, sebanyak RM2.147 juta hasil sewaan venue telah direkod melibatkan sebanyak 26 penganjuran acara sukan di KLSC,” umum Hannah Yeoh.

Manakala, bagi acara bukan sukan, kutipan hasil sebanyak 4 kali ganda berbanding acara sukan telah direkodkan iaitu berjumlah RM8.5 juta daripada 54 penganjuran ketika ini.

“Sementara tempoh yang sama, sebanyak 54 penganjuran acara bukan sukan telah direkodkan melibatkan kutipan hasil sewaan venue sebanyak RM8.5 juta, iaitu 4 kali ganda hasil sewaan penganjuran acara sukan.”

Hannah turut memaklumkan kutipan hasil keseluruhan yang dicatatkan adalah sekitar RM10 juta yang juga rekod tertinggi yang pernah diraih oleh pihak KLSC.

”Ini menjadikan jumlah keseluruhan kutipan hasil sewaan venue sehingga Oktober adalah sebanyak RM10.647 juta,” kata Hannah yang juga Ahli Parlimen Segambut.

“Hasil tahun ini merupakan hasil paling tertinggi yang pernah direkodkan oleh KLSC,” tambah Hannah kepada Ahli Dewan Rakyat.