Komen Gabriel Palmero Selepas Cetak Gol Sulung Buat Kuching City
MakanBola
Kuching City FC

Pemain baharu Kuching City FC, Gabriel Palmero mengakui teruja kerana dapat membantu pasukan itu mara ke separuh akhir Piala Malaysia.

Selepas menyertai Kuching City sebagai ejen bebas baru-baru ini, ramai penyokong tidak sabar menanti kemunculan pertama bek kiri berusia 23 tahun itu.

Palmero diberi peluang membuat penampilan pertama oleh Aidil Sharin Sahak dalam aksi suku akhir kedua Piala Malaysia menentang Brunei DPMM FC.

Meskipun tidak beraksi selama empat bulan, bekas bek kiri CD Tenerife itu kekal berbisa. Palmero menyumbat gol ketiga buat Kuching City pada babak kedua.

Gol beliau memastikan The Cats meraih kemenangan 3-1 dalam aksi berkenaan. Kuching City mara ke separuh akhir dengan keputusan agregat 6-2.

Selepas perlawanan, Palmero mengakui gembira dapat membantu Kuching City mara lebih jauh dalam saingan berprestij itu.

“Saya gembira berada di sini. Ia satu malam yang tidak boleh dilupakan. Ia akan menjadi satu penamat musim yang bagus,” katanya.

Gol tersebut bukan saja gol sulung Palmero bersama Kuching City. Malah, ini juga gol kedua beliau dalam kariernya.