Prestasi dan pencapaian Johor Darul Ta’zim (JDT) sudah terbukti dan nyata bukan saja di peringkat domestik tetapi juga di peringkat benua.
Hal ini dinyatakan DYAM Tunku Mahkota Ismail, Pemangku Sultan Johor apabila mengulas JDT menghampiri gelaran juara Liga Super buat kali ke-12.
Tunku Ismail melihat JDT terus melakar siri kejayaan demi kejayaan meskipun menyaksikan perubahan dari segi pemain dan barisan kejurulatihan.
Hal ini berjaya dicapai menerusi prestasi konsisten skuad Harimau Selatan baik di dalam mahupun luar padang setiap musim.
“Presiden datang dan pergi, jurulatih datang dan pergi, pemain datang dan pergi, lawan datang dan pergi.
“Tetapi prestasi konsisten JDT tidak boleh dinafikan. Rekod-rekod dan pencapaian dalam dan luar padang,” katanya di ruang komen Instagram Johor Southern Tigers.
Gelaran juara Liga Super semakin hampir dicapai JDT dengan menewaskan Penang FC 4-0 di Stadium Bandaraya.
Marcos Guilherme, Bergson da Silva dan Ocasr Arribas memastikan JDT terus mengekalkan rekod kemenangan 100% pasukan itu.
Kemenangan ini juga menyaksikan JDT masih belum tewas dalam 102 perlawanan dan mengekalkan siri kemenangan kepada 35 perlawanan.
JDT hanya memerlukan kemenangan apabila bertemu Brunei DPMM FC pada 15 Mac ini untuk mengesahkan kejuaraan liga.