Korea Selatan Belasah Indonesia Tujuh Kosong

indonesia u20 south korea u20 pssi Korea Selatan Belasah Indonesia Tujuh Kosong
PSSI
Syafiq Freman @syafiqfreman
10:31am 26/03/2022

Hasrat Timnas Muda Indonesia mengejutkan gergasi Asia, Korea Selatan tidak kesampian selepas tewas dengan jaringan besar 0-7 kepada Korea Selatan di Stadium Daegu, Korea Selatan.

Perlawanan persahabatan ini diatur Persatuan Sepakbola Seluruh Indonesia (PSSI) sebagai pendedahan pemain muda negara berkenaan yang dibarisi pemain berumur 20 tahun ke bawah.

Selepas tamat perlawanan, Ketua Umum PSSI Mochamad Iriawan ingin skuad muda Indonesia mempertingkatkan kualiti permainan sebagai persiapan Piala Dunia FIFA B-20 yang dijadualkan berlangsung di Indonesia pada tahun 2023.

“Kami telah belajar satu pengajaran berharga menentang Korea Selatan, yang sebenarnya kebolehan mereka melebihi kemampuan kami. Pemain mesti bekerja lebih keras, berdisiplin dan meningkatkan kebolehan semasa kem latihan di Korea Selatan,” kata Iriawan.

“Dengan keputusan ini, jurulatih Shin Tae-yong juga mendapat idea bahawa pasukan B-19 mesti dipertingkatkan lagi. Ia mengambil masa dan pasukan ini masih dalam proses,” tambahnya.

Shin Tae-young yang turut menjaga skuad senior Indonesia tidak hairan dengan kekalahan besar ini dan tetap ingin pemainnya menyerang walaupun bolos besar dalam perlawanan ini.

Timnas Indonesia B-20 akan bertemu Universiti Daegu pada 27 Mac ini melengkapkan jelajah Korea Selatan 2022.