Proses pelesenan kelab bagi kitaran 2025–2026 kini menyaksikan beberapa kelab Liga Malaysia seperti Kuching City telah berjaya melengkapkan penyerahan dokumen bagi permohonan Lesen AFC seperti yang ditetapkan oleh Jawatankuasa First Instance Body (FIB) Malaysian Football League (MFL)
Setakat tarikh akhir 30 April 2026, sebanyak tujuh kelab telah disahkan melengkapkan keseluruhan dokumen bagi permohonan Lesen AFC dan Lesen Kebangsaan tanpa sebarang kekurangan dokumentasi.
Antara kelab yang terlibat ialah Johor Darul Ta’zim FC, Selangor FC, Sabah FC, Terengganu FC, Penang FC, Kuching City FC dan Negeri Sembilan FC.
Kuching City FC menjadi antara kelab yang tersenarai dalam kumpulan tersebut selepas berjaya melengkapkan semua keperluan dokumentasi pelesenan yang telah ditetapkan oleh pihak pengelola liga.
Penyerahan lengkap ini membolehkan semua tujuh kelab berkenaan memasuki fasa seterusnya iaitu proses penilaian oleh FIB sebelum keputusan akhir pelesenan diumumkan.
Dalam masa sama, FIB memaklumkan terdapat juga beberapa kelab lain yang masih dalam proses melengkapkan dokumen serta memohon lanjutan masa bagi memenuhi kriteria pelesenan yang ditetapkan.
Untuk rekod, proses pelesenan ini turut melibatkan pemohon Lesen Kebangsaan Luar Biasa (Extraordinary) bagi saingan AFL Liga A1 yang masih berada dalam semakan pihak berkaitan.
Selain itu, Jawatankuasa FIB juga telah menetapkan tarikh baharu iaitu 14 Mei 2026 sebagai tarikh akhir bagi melengkapkan semua penyerahan dokumen pelesenan kitaran 2025–2026.
Selepas itu, keputusan pelesenan dijadualkan akan dimuktamadkan dalam mesyuarat FIB pada 20 Mei 2026, sebelum dibawa ke proses rayuan jika perlu dan seterusnya dihantar kepada Asian Football Confederation pada 31 Mei 2026.