Kuching City FC memantau tahap kecergasan tiga tonggak menjelang aksi suku akhir kedua Piala Malaysia menentang Brunei DPMM FC.
Tiga tonggak yang dimaksudkan ialah Ariff Farhan Md Isa, Gabriel Nistelrooy dan Ronald Ngah Wanja. Ini kerana ketiga-tiga pemain itu mengalami sedikit masalah kecederaan.
Atas sebab itu, jurulatih The Cats, Aidil Sharin Sahak ingin melihat tahap kecergasan mereka terlebih dahulu menjelang hari perlawanan.
“Ariff Farhan mengalami sedikit kecederaan, Gabriel masih menjalani pemulihan. Ronald Ngah Wanja juga semakin pulih.
“Jadi, kita boleh dapat lebih ramai pemain bersedia untuk aksi (suku akhir kedua Piala Malaysia) pada Sabtu,” katanya kepada Nadi Bola.
Sekiranya Ngah dan Gabriel tidak sempat pulih menjelang aksi berkenaan, Jerome Mpacko Etame dijangka terus mengetuai jentera serangan Kuching City.
The Cats berharap dapat mempertahankan kelebihan agregat 3-1 dalam aksi suku akhir kedua untuk meraih tiket ke separuh akhir.