Kuching City Pilih Thailand Destinasi Pramusim
MakanBola
Kuching City FC

Kuching City FC bakal memilih Thailand sebagai destinasi pramusim 2026/27.

Ini selepas laporan Nadi Arena menyatakan anak buah Aidil Sharin Sahak bakal berangkat ke Chiangmai, Thailand untuk menghadapi beberapa aksi persahabatan.

Meskipun identiti lawan mereka di Thailand tidak didedahkan, beberapa kelab negara itu bakal menguji keserasian naib juara Liga Super musim lalu itu.

Selepas kempen pramusim di Thailand, Kuching City juga akan berdepan beberapa pasukan Liga Malaysia (Liga M) untuk aksi persahabatan.

Selain Kuching City, pasukan utara tanah air, Penang FC turut akan berada di Thailand untuk menyertai kejohanan pramusim empat sebelah. Dua lawan yang telah disahkan untuk kejohanan itu ialah Pattani FC dan Chonburi FC.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Kuching City, Iswandi Ali Hassan mendedahkan pasukan itu masih mencari dua atau tiga lagi pemain dalam pasaran perpindahan.

Ini memastikan pasukan itu memiliki kekuatan mencukupi bagi menghadapi jadual padat musim 2026/27. Ini termasuk kempen Liga Juara-Juara AFC 2 (ACL2) dan Shopee Cup.

“Sebenarnya kita takut sebab pertama, kita tak ada skuad kedua seperti Selangor atau JDT untuk menambah pemain ke Liga Super atau turun ke liga bawah macam Liga A1.

“Cuma sekarang ini, realistik dengan pemain yang ada berdasarkan kekuatan Kuching City. Belanjawan pasukan Kuching City juga akan bertambah besar. Yang paling penting, kita tambah persefahaman pemain sendiri,” katanya.

Kuching City telah merekrut Safawi Rasid, Nazmi Faiz Mansor, Ajdin Mujagic, Gabriel Peres, Kaishu Yamazaki, Irfan Zakaria dan Dylan Wenzel-Halls.