Lagenda China Kesan Perubahan Lee Zii Jia, Minta Waspada Menjelang Olimpik
UltraSukan

Prestasi cemerlang jaguh perseorangan lelaki Malaysia, Lee Zii Jia dalam beberapa kejohanan belakangan ini membuka mata ramai pihak termasuk dari negara luar seperti China.

Aksi cemerlang Zii Jia mula ditampilkan dalam kejohanan Thailand Open 2024 yang menyaksikan pemain berusia 26 tahun itu berjaya menewaskan Angus Ng Ka Long di final sekaligus mengulangi pencapaian juara pada musim 2022 lalu.

Momentum itu diteruskan apabila kembali beraksi di tanah air dalam kejohanan Malaysia Masters dan sekali lagi Zii Jia mempamerkan aksi berkualiti untuk mara ke final sebelum tewas kepada Viktor Axelsen dalam aksi tiga set.

Meskipun dua kejohanan di Singapura dan Indonesia tidak berakhir dengan keputusan yang diinginkan, akan tetapi jaguh kelahiran Kedah ini tidak patah semangat apabila muncul juara di Australian Open dua minggu lalu.

Hasil pencapaian cemerlang ini, lagenda badminton China, Cai Yun berkata bahawa keputusan Zii Jia menyertai kejohanan tanpa henti ini disebabkan oleh statusnya sebagai pemain profesional yang sukar untuk mencari lawan yang setara.

“Lee Zii Jia dan Chou Tien Chen, kerana status mereka sebagai pemain profesional, (agak) sukar untuk mencari tahap lawan berkualiti tinggi dalam latihan harian, jadi mereka mengekalkan keadaan mereka dalam kejohanan sebenar,” ujar Cai Yun menerusi akaun Weixin.

Tambah Cai Yun lagi, pemain negara ini perlu diberikan perhatian sepenuhnya dengan momentum yang dibawa selain kini sedang menguasai corak permainan baharu yang lebih banyak mengawal bola atau bermain rally.

“Di antara mereka, yang patut diberi perhatian ialah Lee Zii Jia kerana dia bukan sahaja mengekalkan prestasi di atas gelanggang, malah berani mencuba corak permainan baharu menjelang Sukan Olimpik dan hasilnya tidak mengecewakan.”

Cai Yun menilai senjata utama yang dimiliki Zii Jia adalah melalui serangan, akan tetapi dengan perubahan corak permainan ini, beliau melihat keputusan ini membuahkan hasil meskipun permainan akan menjadi lebih bosan.

“Kelebihan Lee Zii Jia adalah dari aspek serangannya. Dia mencuba corak permainan mengawal bola tahu lalu, tetapi keputusannya tidak berapa bagus. Tanpa diduga, dia kembali bermain kawalan bola di Australia Open ini.”

“Permainan seperti ini kelihatan lebih membosankan, dan sangat sukar untuk bermain 3 set dalam 4-5 perlawanan, tetapi berdasarkan keputusan, dia menang, malah kalahkan Kodai Naraoka,” ujar pemenang pingat emas Sukan Olimpik London 2012 itu.

Lee Zii Jia kini dalam persiapan terakhir menjelang Sukan Olimpik Paris 2024 pada penghujung Julai ini bersama empat lagi wakil negara iaitu Aaron Chia-Soh Wooi Yik, Goh Jin Wei, Pearly Tan-M. Thinaah dan Chen Tang Jie-Toh Ee Wei.