Perlawanan akhir perseorangan lelaki Malaysia Masters 2024 menyaksikan jaguh perseorangan lelaki negara, Lee Zii Jia mempamerkan persembahan memukau sebelum akur tumpas di tangan pemain nombor satu dunia, Viktor Axelsen.
Lee Zii Jia yang difahamkan mengalami sedikit kecederaan semalam tampil penuh cemerlang menahan kesakitan ketika menewaskan wakil Hong Kong, Angus Ng Ka Long dalam aksi dua set untuk menempah tiket ke aksi final hari ini.
Meskipun Axelsen memiliki kelebihan dari segi rekod pertemuan setelah mencatatkan enam kemenangan dalam sembilan perlawanan sebelum ini, namun Zii Jia turun dengan sorakan padu para peminat di Axiata Arena untuk bergelar juara di laman sendiri.
Di awal set pertama, Axelsen bermula baik dengan beberapa pukulan deras yang berjaya dimatikan di gelanggang Zii Jia untuk wakil Denmark itu jauh mendahului 7-1.
Pergerakan Zii Jia seakan sedikit terbatas dan seakan beraksi di bawah prestasi sebenarnya sekaligus menghadiahkan kemenangan 21-6 di set pertama buat Axelsen.
Bersambung di set kedua, anak jati Kedah itu mula bangkit menunjukkan permainan terbaiknya dengan mengejar mata Axelsen dan terus memecut untuk mendahului 11-4 ketika interval.
Ketika permainan menuju penghujung set kedua, Axelsen bangkit dengan beberapa serangan untuk mengikat kedudukan 19-19 menyebabkan keadaan Axiata Arena menjadi riuh seketika.
Permainan akhirnya diheret ke set penentuan setelah Zii Jia berjuang habis-habisan untuk merampas set kedua dari Axelsen dengan keputusan 22-20.
Set ketiga menyaksikan pergerakan tubuh Zii Jia mula menggusarkan namun pemain berusia 26 tahun itu kekal bertahan membalas setiap pukulan lawannya dari Denmark itu.
Selepas interval, Axelsen berjaya meraih empat mata berturut untuk mendahului 15-9 dan keadaan fizikal Zii Jia semakin merisaukan untuk akhirnya menamatkan cerita di set ketiga dengan kemenangan 21-13 buat pemain nombor satu dunia itu.
Aksi di gelanggang satu tamat, Viktor Axelsen menang ke atas Lee Zii Jia dengan keputusan 21-6, 20-22, 21-13.
Kemenangan ini merupakan kejuaraan pertama buat Viktor Axelsean bagi musim 2024 ini sementara ini merupakan final kedua buat Lee Zii Jia setelah muncul juara Thailand Open minggu lalu.