“Lawan Malaysia Sentiasa Istimewa” – Xuan Son
MakanBola
VFF

Penyerang Vietnam, Nguyen Xuan Son menyifatkan pertemuan menentang Malaysia dalam aksi separuh akhir ASEAN Hyundai Cup 2026 di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras sebagai satu perlawanan yang besar dan cukup istimewa.

Menurutnya, Malaysia memiliki skuad yang berkualiti, namun Vietnam hadir ke Kuala Lumpur dengan keyakinan tinggi selepas membuat persiapan rapi bagi menghadapi perlawanan tersebut.

“Saya menjangkakan perlawanan esok (menentang Malaysia) akan menjadi perlawanan yang besar. Menentang Malaysia sememangnya sesuatu yang istimewa. Mereka mempunyai skuad yang baik dan kami datang ke Malaysia untuk memberikan aksi terbaik.

“Saya akan melakukan yang terbaik. Saya teruja untuk beraksi di separuh akhir kerana ini adalah perlawanan yang besar. Kami berharap dapat memberikan persembahan yang baik esok,” jelas Nguyen Xuan Son dalam sidang media pra-perlawanan yang disiarkan Astro Arena.

Sepanjang saingan ASEAN Hyundai Cup 2026, Xuan Son telah merekodkan dua gol daripada empat penampilan bersama skuad Vietnam, namun ketajaman penyerang kelahiran Brazil itu tetap tidak boleh dipandang ringan.

Dalam pada itu, Xuan Son turut menyuarakan kebimbangan terhadap keadaan padang di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, namun enggan menjadikannya sebagai alasan dan mengakui sudah bersedia untuk berdepan cabaran tersebut.

“Sejujurnya, saya tidak begitu menggemari jenis rumput seperti ini. Namun, saya sudah banyak kali beraksi di Vietnam di stadium yang mempunyai keadaan padang seperti ini. Bagi saya, tiada masalah untuk beraksi dalam situasi sebegini. Apa pun, kami berharap dapat memberikan aksi yang baik pada perlawanan esok,” katanya lagi.

Sebagai rekod, Vietnam berjaya memenangi lima pertemuan terakhir menentang Malaysia, termasuk kemenangan 3-1 dalam aksi terakhir Kumpulan F, Pusingan Kelayakan Akhir Piala Asia 2027 pada Mac lalu.

Pertemuan Malaysia dan Vietnam dijadualkan berlangsung pada Ahad, 16 Ogos 2026, jam 9.00 malam waktu Malaysia di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras.