Pertahanan tengah BG Pathum United, Irfan Fandi Ahmad menjadi wira pasukan apabila jaringannya telah memacu kemenangan pasukan BG Pathum United.
Sementara penyerang sensasi, Ikhsan Fandi Ahmad pula sekali lagi mencuri tumpuan ramai apabila kelibatnya yang memerangkap lawan, menghasilkan jaringan kedua buat pasukan.
BG Pathum United telah dijadualkan bertemu Port FC dalam perlawanan ke-27 saingan Liga Thai 1 di Stadium Leo hari ini. Tuan rumah BG Pathum United mengutip tiga mata penuh setelah menewaskan Port FC dengan keputusan 2-1.
Irfan Fandi membuka akaun jaringan seawal minit ke-26 permainan setelah memanfaatkan hantaran lintang daripada rakan sepasukannya. Tandukan padu tonggak tengah Singapura itu gagal diselamatkan penjaga gol Port FC.
Selang tiga minit selepas jaringan Irfan, gerakan solo Ikhsan Fandi telah menambah duka buat pasukan lawan apabila rembatan kencang Ikhsan tertempias masuk oleh pertahanan Port FC. Gol sendiri menerusi pemain Port FC itu menyaksikan BG Pathum selesa mendahului 2-0 dihadapan.
Memasuki babak kedua perlawanan, pemain Port FC, David Rochela berjaya menjaringkan satu gol buat pasukan pelawat. Pada minit ke-54 permainan, Rochela merembat kencang bola ke gawang BG Pathum setelah menerima hantaran cantik dari sebelah kiri padang.
Bagaimanapun satu gol daripada pemain Port FC itu tidak cukup untuk sekurang-kurangnya membawa pulang satu mata buat pasukan Port FC. Keputusan kekal sehingga wisel penamat, BG Pathum 2-1 Port FC.
BG Pathum United kini berada di kedudukan kedua carta Thai League 1 setelah mengutip 51 mata dan mengekori rapat pendahulu liga, Buriram United yang kini mengumpul sebanyak 58 mata.
Gandingan ‘duo’ anak Fandi, Ikhsan dan Irfan ini pasti akan memberi impak yang positif seterusnya menjadi ayam tambatan dan pelengkap buat pasukan BG Pathum United.