Advertisement
Lee Tuck Umum Tinggalkan Sri Pahang
Dunia
MakanBola
Sri Pahang FC Official

Pemain naturalisasi, Lee Tuck memberi kejutan besar kepada penyokong Sri Pahang apabila mengumumkan tidak akan bersama pasukan itu bagi musim 2023.

Lee Tuck sebelum ini dijangka akan terus kekal menyarung jersi Sri Pahang berikutan namanya tiada dalam senarai sembilan pemain yang dilepaskan kelab itu sepertimana diumumkan pada Khamis.

Namun, pemain yang ketika ini sedang bersama skuad kebangsaan itu, sempat mengambil masa untuk membuat nukilan tentang status semasanya.

“Dengan penuh dukacita saya maklumkan khidmat saya bersama Sri Pahang telah berakhir. Saya mahu berterima kasih kepada semua orang hebat yang telah saya kenali di kelab ini, para penyokong, serta semua yang telah saya kenal sepanjang berada di bumi Pahang.

“Ia keputusan yang menyedihkan saya dan keluarga saya, meskipun saya sebenarnya mahu bermain lebih banyak perlawanan untuk kelab ini, tetapi saya tahu ini adalah sebahagian asam garam dalam bolasepak. Keindahan sebenar adalah pada cabaran dan pengalaman yang telah saya peroleh.

“Saya juga berterima kasih kepada isteri dan anak atas kasih sayang dan sokongan positif yang tidak berbelah bahgi. Selamat maju jaya diucapkan kepada Sri Pahang,” ujar pemain berusia 34 tahun itu.

Lee Tuck IG Lee Tuck Umum Tinggalkan Sri Pahang

Meskipun tidak diketahui apa punca sebenar Lee Tuck angkat kaki, beberapa sumber mendakwa ia berkemungkinan besar disebabkan rundingan antara pengurusan Sri Pahang dan pemain itu menemui jalan buntu kerana permintaan gajinya yang tinggi lantas khidmatnya tidak dapat dikekalkan.

Keengganan Sri Pahang tunduk kepada permintaan Lee Tuck dipuji segelintir penyokong tetapi dalam masa sama ada juga yang menyifatkan ia sebagai satu kerugian malah ada yang mengatakan “Dah jadi tabiat tolong naturalisasikan pemain untuk team lain pakai”.

Apatah lagi, Sri Pahang telah ‘membela’ Lee Tuck sejak daripada tahun lepas, dia bermain di pusingan pertama Liga Super 2021 sebelum dipinjamkan kepada Terengganu.

Apabila kembali, dia tidak didaftarkan bagi saingan musim 2022 kerana Sri Pahang mahu melengkapkan proses naturalisasinya. Mereka membantu urusan dokumentasi dan segala proses untuk mendapatkannya kewarganegaraan Malaysia yang mana selesai pada September lalu.

Walaupun berehat panjang hampir semusim, pihak pengurusan bersabar menantinya membuat kemunculan semula dan dia sempat tampil dalam dua perlawanan Piala Malaysia menentang Terengganu pada Oktober sebelum terus mendapat panggilan menyertai Harimau Malaya.

Ke mana hala tuju pemain berasal dari United Kingdom ini, belum diketahui namun ketika ini dia dikaitkan dengan perpindahan semula ke Terengganu. Semuanya dijangka hanya akan terjawab apabila berakhir tugasannya dengan Harimau Malaya nanti.