Kejayaan jaguh perseorangan lelaki negara, Lee Zii Jia yang meraih kedudukan podium dalam beberapa siri kejohanan belakangan ini membuahkan hasil yang berbaloi.
Zii Jia masih segar dengan gelaran juara di Australian Open 2024 setelah tampil penuh bertenaga menewaskan bintang Jepun, Kodai Naraoka di final dengan keputusan 21-19, 11-21, 21-18.
Hasil daripada kemenangan epik itu, pemain berusia 26 tahun ini berjaya membawa pulang wang tunai USD 31,500 bersamaan RM148,671 setelah berhempas pulas bertarung dalam masa 78 minit.
Sebelum ke Australia, Zii Jia turut mempamerkan prestasi cemerlang di kejohanan Thailand Open 2024 dan Malaysia Masters 2024 beberapa minggu lalu yang menyaksikan juara All England 2021 itu berada gah di atas podium.
Di Thailand Open, wakil negara itu berjaya mengulangi pencapaian juara pada tahun 2022 setelah berhasil menundukkan Angus Ng Ka Long dari Hong Kong untuk meraih hadiah bernilai USD 31,500 bersamaan RM148,671.
Seminggu kemudian, Zii Jia meneruskan momentum positif di Malaysia Masters dengan mara ke final sebelum tewas di tangan Viktor Axelsen dalam aksi tiga set namun berhasil meraih ganjaran USD 15,690 sekitar RM74,047 di laman sendiri.
Secara keseluruhannya, pemain kelahiran Kedah ini telah membawa wang kemenangan sebanyak USD 78,690 anggaran sekitar RM371,392 setelah berjuang membawa nama Malaysia selama lima minggu ini.
Lee Zii Jia akan kembali ke tanah air selepas ini bagi melakukan persiapan terakhir sebelum menyertai Sukan Olimpik Paris 2024 pada penghujung Julai bersama empat lagi wakil negara iaitu Aaron Chia-Soh Wooi Yik, Goh Jin Wei, Pearlt Tan-M. Thinaah dan Chen Tang Jie-Toh Ee Wei.