Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Perak FC, Arie Sham berseloroh pemain pertahanan perlu memakai cermin sisi bila turun beraksi di atas padang.
Komen tersebut dibuat beliau apabila mengulas insiden penalti yang diterima Terengganu FC semasa aksi pusingan 16 pasukan terbaik Piala FA 2024 pada Jumaat lalu.
Perak sebelum itu mengejutkan Peteh dengan mendahului menerusi pemain tengah Brazil, Luiz Fernando Motta seawal minit keenam.
The Bos Gaurus kemudiannya bernasib malang apabila pengadil, Zamzaidi Katimin memberi sepakan penalti kepada tuan rumah.
Ini selepas pemain pertahanan pelawat, Tommy Mawat Bada menjatuhkan pemain tengah Filipina, Manuel Ott dalam kotak penalti. Penalti tersebut mudah disempurnakan Safawi Rasid pada minit ke-36.
Arie Sham menyifatkan insiden tersebut sepatutnya disemak oleh pegawai sistem bantuan video pengadil (VAR), Nazmi Nasaruddin. Atas sebab itu, beliau berseloroh dengan mengatakan pemain pertahanan perlu ada cermin sisi disebabkan kewujudan sistem VAR.
“Lepas ini pemain pertahanan kena pakai cermin sisi sebab kecanggihan VAR kita. Ingat, pemain pertahanan kena tengok belakang. Kalau ada yang tengah berlari, kita biarkan saja bola itu,” katanya dalam satu hantaran di Instagram.
Perak tersingkir daripada saingan Piala FA 2024 apabila Marin Pilj meledakkan gol kemenangan dari jarak jauh pada minit ke-42.
The Bos Gaurus juga beraksi dengan 10 pemain apabila Zamzaidi melayangkan kad merah kepada Firdaus Saiyadi pada minit ke-69.
Selepas ini, Perak akan bertemu Selangor di Stadium MBPJ untuk aksi Liga Super seterusnya pada 23 Jun ini.