Selepas tiga perlawanan Liga A1 Semi Pro, dua bekas pemain Malaysia mula memberi cabaran untuk mendapatkan gelaran penjaring terbanyak liga.
Ketika ini, penyerang import Imigresen, ThankGod Michael Ogwuche mengetuai carta penjaring terbanyak Liga A1 Semi Pro dengan lima gol.
Pada masa sama, Amri Yahyah yang mewakili PT Athletic FC dan R. Kogileswaran (Bunga Raya Damansara (BR Damansara)) turut memberi cabaran. Kedua-duanya menyumbang tiga gol untuk pasukan masing-masing.
Selepas berkecimpung dalam dunia bola sepak selama lebih 20 tahun, ramai peminat bola sepak melihat Amri bersara selepas mewakili pasukan terakhirnya, Sabah FC.
Walau bagaimanapun, ramai peminat terkejut apabila Amri memilih untuk keluar daripada persaraan dan mewakili PT Athletic.
Meskipun usianya kini mencecah 43 tahun, bekas penyerang Selangor FC itu menunjukkan dirinya masih cergas dan sedia membantu PT Athletic mencabar kedudukan teratas liga.
Bisa Amri cukup kelihatan apabila menyumbat gol penyamaan untuk PT Athletic semasa menentang Harini FT pada 22 Jun lalu.
Sementara Kogileswaran pula dilihat turun dengan misi tersendiri. Ramai peminat bola sepak negara terkejut apabila penyerang berusia 26 tahun itu memilih menerima tawaran BR Damansara daripada kekal dalam saingan Liga Super.
Keputusan yang dibuat Kogileswaran kelihatan berbaloi kerana beliau bukan saja mendapat minit permainan yang kerap di atas padang.
Malah, sentuhan golnya kembali berbisa dengan meledakkan tiga gol bersama BR Damansara. Ini termasuk gol ketika menentang Malaysian University FT (MUFT) pada 23 Jun lalu.
Sentuhan Kogileswaran dijangka ditagih BR Damansara bila berdepan pendahulu liga, Imigresen FC pada 30 Jun ini.
Perlawanan ini bukan saja menentukan sama ada akan berlaku perubahan pada tampuk pendahulu liga atau tidak. Malah, ini juga medan persaingan buat Ogwuche dan Kogileswaran membuktikan bisa masing-masing.