Liga A1: Kelantan Red Warrior Lunas Dendam Ke Atas Kedah FA
MakanBola
PBSK

Kelantan Red Warrior bangkit menewaskan pasukan Helang Merah sekali gus melunaskan dendam ke atas Kedah FA selepas tewas 1-0 pada pusingan pertama, dalam aksi minggu ke-19 saingan Liga A1 Semi-Pro musim 2025/26 di Stadium Muhammad Ke-IV, Jumaat.

Kedah FA membariskan Rajendran di bahagian penjaga gol dan Pape Diakite menggalas lilitan kapten dengan Nabil Latpi mengemudi jentera serangan pasukan.

Sementara itu, Kelantan RW menurunkan Shafiq Afifi di benteng terakhir dan pemain import baharu, Wesley Barnaske sebagai ayam tambatan Kelantan Red Warrior bagi aksi ini.

Kelantan RW tampak bermula garang dengan melancarkan beberapa percubaan berbahaya ke arah gawang pasukan Kedah FA menerusi Wesley Barnaske namun rembatan beliau sedikit tersasar pada minit ke-5.

Kedah FA hampir membuka tirai jaringan menerusi gerakan awal Nabil Latpi, namun hasrat itu lebur apabila Shafiq Afifi muncul tenang menyekat ancaman tersebut dalam kawasan kotak penalti Kelantan RW.

Emmanuel Mbarga hampir menghadiahkan gol pembukaan buat Kelantan Red Warrior selepas melepaskan satu rembatan kencang pada minit ke-11 namun percubaan beliau sedikit tersasar dari gawang pasukan Kedah FA.

Memasuki minit ke-35, kedudukan masih terikat tanpa jaringan bagi kedua-dua pasukan.

Aksi babak pertama tamat dengan keputusan terikat tanpa jaringan bagi pasukan Kelantan Red Warrior dan Kedah FA.

Bersambung babak kedua, kedua-dua kelab terus melancarkan serangan berbahaya bagi mencari gol pembukaan aksi.

Kedah FA meningkatkan intensiti permainan dalam tempoh 10 minit berikutnya bagi mencari gol penyamaan, namun usaha mereka tidak berhasil menembusi pertahanan tuan rumah yang tersusun dengan kemas.

Kedah FA meledak gol pertama aksi pada minit ke-57 menerusi satu gol cantik sekali gus memberikan kelegaan kepada kem pasukan beliau.

Kelantan Red Warrior tidak menunggu lama untuk menyamakan kedudukan selepas penyerang berbisa kelab, Emmanuel Mbarga pada minit ke-60.

Kelantan RW merobek gawang Kedah FA buat kali kedua menerusi rembatan kencang kaki kiri Faiz Nasir pada minit ke-69 serentak memberikan kegembiraan kepada ribuan penyokong kelab tersebut di Stadium Sultan Muhammad Ke-IV.

Aksi tamat dengan keputusan 2-1 memihak kepada pasukan tuan rumah, Kelantan Red Warrior.

Kemenangan ini menyaksikan Kelantan Red Warrior memintas Kedah FA untuk berada di kedudukan ketiga liga, dengan kedua-dua pasukan terikat dengan 35 mata, namun dipisahkan oleh perbezaan 17 gol.