Kelab Machan FC sah menarik diri daripada saingan Liga A1 Semi-Pro musim 2025/2026 selepas mengharungi 22 perlawanan setakat ini.
Perkara itu disahkan Ketua Pegawai Operasi Amateur Football League (AFL), Mohd Raimi Fakri Mohd Fuad, susulan penerimaan surat rasmi daripada pihak kelab pada 3 April 2026.
Menurut beliau, pihak AFL telah cuba berbincang serta membantu Machan FC dalam menyelesaikan masalah yang dihadapi, namun pengurusan kelab tetap dengan keputusan untuk menarik diri daripada saingan liga.
“AFL menerima dan menghormati keputusan tersebut dengan berat hati,” katanya dalam satu kenyataan.
Susulan penarikan diri itu, semua keputusan perlawanan melibatkan Machan FC sebelum ini dibatalkan dan dianggap tidak sah, termasuk kutipan mata serta jaringan gol.
Dalam masa sama, semua perlawanan yang telah dijadualkan melibatkan Machan FC juga akan dibatalkan, manakala perjalanan Liga A1 Semi-Pro 2025/2026 diteruskan seperti perancangan asal.
Selain itu, Machan FC turut dikenakan hukuman penggantungan selama satu musim bagi edisi 2026/2027 serta denda sebanyak RM20,000 oleh pihak AFL.
Kes berkenaan juga akan dirujuk kepada Jawatankuasa Tatatertib FAM bagi sebarang tindakan lanjut.