Gol sulung Alejandro Garnecho tidak cukup membantu Man Utd memintas Real Sociedad sebagai juara kumpulan E Liga Europa.
Red Devils tahu mereka bukan saja perlu menang ke atas Sociedad di San Sebastian. Tetapi mereka perlu jaringkan sekurang-kurangnya dua gol untuk memintas pasukan Basque itu.
United mendahului tuan rumah pada minit ke-17 menerusi gol cantik Garnecho selepas menyudahkan gerakan serangan yang direncana Cristiano Ronaldo.
Ronaldo hampir menambah jaringan pelawat menerusi lambungan ke arah gol tetapi tidak mengenai sasaran.
Sociedad cuba menyamakan kedudukan menerusi percubaan Andoni Gorosabel dan Pablo Marin tetapi berjaya dinafikan penjaga gol United, David de Gea.
United yang terdesak menghantar Harry Maguire sebagai penyerang tetapi kedudukan 1-0 kekal sehingga tamat perlawanan.
Dengan kemenangan ini, Red Devils dan Sociedad menamatkan kumpulan dengan 15 mata. Tetapi Los Txuri-Urdin muncul juara kumpulan dengan kelebihan jaringan yang besar.
United bakal berdepan salah satu daripada lapan pasukan yang tersingkir dari Liga Juara-Juara Eropah sebagai lawan untuk pusingan penentuan play-off pada Februari tahun depan.
Kelab-kelab ini ialah kelab lama Erik ten Hag, Ajax Amsterdam, kelab lama Ronaldo, Sporting Lisbon, Barcelona dan Juventus.
Bayer Leverkusen, Sporting Lisbon, Red Bull Salzburg dan Sevilla melengkapkan senarai lapan kelab Liga Juara-Juara yang akan diundi untuk pusingan play-off.