Pemain baharu Selangor FC, Kim Ji-ho mengakui aksi saingan Liga Malaysia (Liga M) lebih mencabar daripada negara asalnya, Korea Selatan.
Hal ini dinyatakan beliau apabila ditanya perbezaan kedua-dua liga negara itu. Ji-ho yang tiba secara pinjaman dari Suwon Samsung Bluewings mengakui intensiti Liga M bukan saja tinggi.
Malah, pemain sayap berusia 23 tahun itu mengakui ia memberi cabaran terutama dari segi fizikal.
“Ini kali kedua saya bermain. Kali terakhir saya bermain ialah (aksi) menentang Terengganu. Ia satu pengalaman yang sangat baik bermain di liga luar negara.
“Intensitinya sangat tinggi. Saya rasa secara fizikal, ia lebih kuat dari Korea dan ia agak sukar untuk saya pada awalnya. Tetapi rakan sepasukan saya dan barisan kejurulatihan sentiasa membantu saya,” katanya.
Ji-jo sudah beraksi dalam dua perlawanan untuk Selangor setakat ini. Selain aksi suku akhir pertama menentang Negeri Sembilan FC, beliau turut beraksi dalam aksi Liga Super menentang Terengganu FC.
Ji-ho antara dua pemain import Korea Selatan yang menyertai Merah Kuning untuk baki musim 2025/26. Selain beliau, Selangor turut mendapatkan pemain tengah, Jeon Seung-min.