Advertisements
Liga Super: JDT ‘Baham’ Negeri Sembilan
Liga Super
MakanBola
Johor Southern Tigers

Aksi Liga Super minggu ke-14 menyaksikan Johor Darul Ta’zim (JDT) menumbangkan Negeri Sembilan di Paroi.

Setelah mencatat kemenangan selesa 3-0 ke atas Selangor, JDT turun sekali lagi ke laman lawan untuk berdepan kelab tercorot liga, Negeri Sembilan yang diikat 1-1 oleh Kuching City.

Pemain sayap Jepun, Takumi Sasaki terus menjadi tonggak harapan Negeri Sembilan manakala JDT pula mempertaruh gandingan Romel Morales dan Bergson di jentera serangan.

Pelawat tidak menunggu lama untuk memimpin permainan apabila penyerang, Heberty Fernandes meledak gol pertama perlawanan seawal minit ke-15.

Enam minit berselang, Heberty sekali lagi mempamer taring dengan jaringan kedua Harimau Selatan untuk meletakkan JDT selesa mendahului hingga memasuki bilik persalinan.

Separuh masa pertama tamat, Negeri Sembilan 0-2 JDT.

Kembali dari rehat, gawang Negeri Sembilan bocor buat kali ketiga apabila pemain sayap kebangsaan, Arif Aiman Hanapi mencatat nama selaku penjaring pada minit ke-50.

Pemain gantian, Jorge Obregob melengkapkan kemenangan besar JDT dengan gol keempat menerusi tendangan penalti yang diberikan oleh pengadil di masa tambahan.

Perlawanan di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi berakhir dengan keputusan 4-0 buat JDT.

Selepas ini, Negeri Sembilan bakal melayani kunjungan satu lagi jaguh Liga Super, Selangor sementara JDT akan fokus untuk saingan ACLE bertemu Ulsan HD pada 5 November.