Rekod lima perlawanan terakhir membabitkan Selangor FC dan Johor Darul Ta’zim FC (JDT FC) mencuri perhatian peminat bola sepak negara.
Aksi terakhir JDT menyaksikan pasukan itu tunduk 3-1 kepada wakil Korea Selatan, Gwangju FC dalam saingan Liga Juara-Juara AFC Elit (ACLE). Kekalahan itu merupakan kekalahan pertama JDT untuk musim 2024/25.
Meskipun begitu, pasukan itu merekodkan tiga kemenangan dan satu keputusan seri. Ini termasuk kemenangan 3-0 ke atas Shanghai Shenhua pada 1 Oktober lalu.
Harimau Selatan berdepan Selangor yang makin bersemangat selepas menewaskan Jeonbuk Hyundai Motors dalam saingan Liga Juara-Juara AFC 2 (ACL2).
Merah Kuning masih belum tewas dalam lima aksi terakhir semua kejohanan dengan tiga kemenangan dan dua keputusan seri.
Walau bagaimanapun, Selangor perlu berharap mereka memiliki sentuhan penyudah yang tajam menjelang aksi menentang Harimau Selatan.
Ini kerana mereka hanya menjaringkan enam gol dan dibolosi tiga kali dalam lima aksi terakhir mereka. Sementara JDT pula menjaringkan 14 gol dan hanya dibolosi lima kali dalam tempoh sama.
Merah Kuning dijangka menjadikan Ronnie Fernandez, Alvin Fortes dan Ali Olwan sebagai sandaran gol mereka. Ini kerana trio ini sudah menjaringkan 21 gol dalam semua kejohanan termasuk ACL2.
Manakala JDT pula bakal memilih Bergson da Silva, Romel Morales dan Heberty Fernandes untuk mengetuai pemburuan gol mereka. Trio ini sudah menjaringkan 31 gol dalam semua kejohanan termasuk ACLE.
Malah, Bergson dan Fernandez turut bersaing dalam merebut anugerah Kasut Emas Liga Super musim ini. Bergson sudah menjaringkan 14 gol sambil diekori kapten KL City FC, Paulo Josue (10 gol) dan Fernandez (lapan gol).
Aksi ini dilihat cukup penting bagi kedua-dua pasukan. Bagi JDT, ini peluang mereka melebarkan jurang mata selaku pendahulu liga kepada lapan mata dengan Selangor.
Sementara Selangor yang di tangga kedua bukan saja mahu merapatkan jurang dengan Harimau Selatan. Malah, aksi ini dilihat peluang buat mereka menebus kehampaan dibelasah lawan sama 6-1 di pentas final Piala FA 2024.
Selangor dan JDT bakal berentap di Stadium MBPJ pada 27 Oktober ini jam 8.15 malam.