Liga Super: Selangor Hilang Mata Penting Kepada Sabah
MakanBola
MFL

Aksi saingan Liga Super malam ini menyaksikan Sabah berjaya menafikan tiga mata penting Selangor dalam pertembungan sengit di Stadium MBPJ.

Kedua-dua pasukan turun dengan misi utama untuk meraih tiga mata berharga. Selangor, yang dikenali sebagai The Red Giants, bertekad mengekalkan kedudukan di tangga kedua liga, manakala Sabah, atau The Rhinos, berusaha memperbaiki kedudukan mereka yang ketika ini berada di tempat ke-10.

Gol pembukaan terhasil pada minit ke-31 menerusi rembatan kencang dari luar kotak penalti oleh penyerang Selangor, Faisal Halim, sekali gus menggegarkan Stadium MBPJ.

Namun begitu, kelebihan 1-0 tersebut tidak bertahan lama. Hanya empat minit kemudian, penyerang kacukan Malaysia-Scotland, Fergus Tierney, berjaya menyamakan kedudukan. Beliau mempamerkan aksi individu cemerlang dengan menggelecek melepasi tiga pemain Selangor sebelum melepaskan rembatan tepat menewaskan penjaga gol lawan.

Separuh masa pertama berakhir dengan keputusan seri 1-1 antara kedua-dua pasukan.

Selangor hampir menambah jaringan kedua menerusi Faisal Halim & Nooa Laine namun kedua-dua percubaan pemain-pemain tersebut berjaya diselamatkan penjaga gol Sabah, Damien Lim pada awal babak kedua aksi.

Sabah terus mengukuhkan benteng pertahanan mereka dengan sebaik mungkin, meskipun diasak hebat oleh pasukan tuan rumah, Selangor.

Kedua-dua pasukan buntu mencari jaringan tambahan. Keputusan tamat 1-1, masing-masing berkongsi satu mata.

Ketika ini, Selangor berada di kedudukan kedua liga dengan 43 mata, manakala Sabah menghuni tangga ke-10 dengan 16 mata.