Selangor terus mengukuhkan momentum apabila berjaya menumpaskan Imigresen dengan keputusan 4-0 dalam aksi yang berlangsung di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya pada Ahad.
Turun dengan kesebelasan yang mantap, Selangor mempertaruhkan Kalamullah Al-Hafiz sebagai benteng terakhir, manakala Faisal Halim mengetuai pasukan dengan lilitan kapten. Di bahagian serangan, gandingan Alvin Fortes dan Chrigor Moraes menjadi sandaran utama untuk mengucar-kacirkan pertahanan lawan.
Pasukan Imigresen pula tidak kurang hebatnya apabila menurunkan Zarif Irfan di posisi penjaga gol, sementara Wilmar Jordan mengetuai jentera serangan dalam usaha memburu jaringan.
Selangor bermula garang dengan melancarkan beberapa serangan ke arah gawang Imigresen pada awal separuh masa pertama.
Chrigor Moraes melepaskan satu percubaan berbahaya pada awal minit babak pertama namun rembatan tersebut sedikit tersasar dari gawang yang dikawal oleh Zarif Irfan.
Selepas itu, penyerang berbisa Imigresen, Wilmar Jordan hampir meletakkan kelab tersebut berada di hadapan namun ketangkasan penjaga gol Selangor, Kalamullah Al-Hafiz harus diberi pujian.
Chrigor Moraes berjaya membuka akaun jaringan aksi pada minit ke-29 sekali gus menceriakan ribuan penyokong & kem pasukan The Red Giants.
Zikri Khalili menutup babak pertama dengan meledak gol kedua Gergasi Merah pada masa kecederaan bagi memastikan The Red Giants mendahului perlawanan dengan 2 gol.
Aksi babak pertama tamat dengan keputusan 2-0 memihak kepada pasukan tuan rumah, Selangor FC.
Memasuki babak kedua, Gergasi Merah dilihat meningkatkan intensiti permainan dalam usaha memburu gol tambahan, sambil mendapat sorakan padu daripada ribuan penyokong setia di laman sendiri.
Victor Pernambuco terus-menerus melakukan percubaan berbahaya ke arah gawang yang dikawal Zarif Irfan, namun ketangkasan penjaga gol itu sekali lagi wajar diberikan pujian.
Chrigor Moraes menambah gol ketiga aksi pada minit ke-80 selepas kesilapan benteng pertahanan Imigresen sekali gus memastikan kemenangan milik Gergasi Merah.
Pemain import baharu Selangor, Victor Pernambuco berjaya membuka akaun jaringan beliau bersama The Red Giants pada penghujung separuh masa kedua selepas tiba di Petaling Jaya sejak 31 Januari lalu.
Aksi The Red Giants & Imigresen tamat dengan keputusan 4-0 memihak kepada pasukan tuan rumah, Selangor FC.
Keputusan ini menyaksikan Selangor FC berada di tangga kedua liga dengan kutipan 39 mata, manakala Imigresen kekal di tangga kesembilan dengan 18 mata.