Liga Super: Sri Pahang FC 1-2 KL City FC
Liga Super
Sri Pahang FC
Advertisements

Hasrat Sri Pahang FC merapatkan jurang dengan pasukan yang menduduki tangga kedua Liga Super, Selangor FC tidak kesampaian hari ini. Ini selepas anak-anak buah Fandi Ahmad tunduk 1-2 kepada KL City FC di Stadium Darul Makmur.

Selepas Selangor FC diaibkan PDRM FC di Stadium MBPJ semalam, skuad Tok Gajah di tempat ketiga berpeluang merapatkan jurang tiga mata dengan Merah Kuning. Manakala KL City FC pula pastinya mahu memintas Terengganu FC di tangga keenam susulan kemenangan ke atas Perak FC semalam.

Justeru, sebaik sepak mula, kedua-dua pasukan berusaha mencari kelebihan awal. Tetapi anak-anak buah Bojan Hodak terlebih dahulu berada di hadapan menerusi Tchetche Kipre pada minit kelima.

Advertisements

Bekas penyerang Penyu itu dilihat tidak dikawal pertahanan Sri Pahang FC semasa menolak bola melepasi penjaga gol tuan rumah, Izham Tarmizi Roslan.

Tersentak, Tok Gajah bangkit memburu gol penyamaan. Percubaan terbaik mereka hadir menerusi penyerang Harimau Malaya, David Rowley pada minit ke-47 separuh masa pertama tetapi ia hanya melepasi palang.

Dengan kelebihan 0-1 semasa rehat, Fandi sedar anak-anak buahnya perlu menggandakan serangan bagi mendapatkan gol penyamaan. Bekas jurulatih Singapura itu turut memasukkan Michael Glassock menggantikan Nick Swirad bagi memperkukuh pertahanan tuan rumah.

Advertisements

Separuh masa kedua menyaksikan tuan rumah mendapat sepakan penalti pada minit ke-58. Stefano Brundo tenang menewaskan Azim Al-Amin Kamaruddin sekaligus gol keenamnya dalam liga musim ini.

Dengan kedudukan 1-1, City Boys kembali mengasak tuan rumah. Dan pada minit ke-60, mereka mendakwa bola sepakan kapten Paulo Josue terkena tangan Glassock dalam kotak penalti tetapi ia tidak dilayan oleh pengadil Razlan Joffri Ali.

Zuhair Aizat Mohd Nazri hampir meletakkan Sri Pahang FC di hadapan menerusi satu percubaan solo pada minit ke-67. Bagaimanapun, Azim Al-Amin terus menolak bola keluar bagi memastikan kedudukan 1-1.

Advertisements

Bagaimanapun, pasukan pelawat kembali mendahului menerusi Josue pada minit ke-75. Pemain tengah Harimau Malaya itu menyempurnakan satu sepakan percuma yang cantik yang sukar ditangkap Izham Tarmizi.

Bekas penyerang Selangor FC, Herlison Caion menyangka telah menambah kelebihan jaringan City Boys pada minit ke-81. Bagaimanapun, Caion hampa apabila gol tandukannya itu tidak dikira kerana berada dalam kedudukan ofsaid.

Di sebalik cubaan tuan rumah memburu gol penyamaan, keputusan 1-2 kekal sehingga wisel penamat. Keputusan ini membolehkan KL City FC menduduki tangga keenam liga dengan Sri Pahang FC kekal di tangga keempat.

Advertisements

Selepas ini, Sri Pahang FC akan menentang Negeri Sembilan di Paroi pada 9 Jun. Manakala KL City FC pula berdepan Penang di Stadium Bandaraya pada 8 Jun.

Weekly Contest & Free Gift

Join us on Telegram today.

Join Telegram