Liga Super: Sri Pahang Gah, David Rowley Musnahkan Impian Negeri Sembilan
Dunia
Sri Pahang FC
Advertisements

Dua jaringan David Rowley menghadiahkan Sri Pahang FC kemenangan 2-0 ke atas Negeri Sembilan, dalam aksi terakhir Liga Super di Stadium Darul Makmur.

Ia sekaligus memusnahkan impian skuad hoben jang hoben untuk mengakhiri kempen Liga Super musim ini di kedudukan tiga teratas, dalam masa sama terlepas slot bermain di Piala AFC.

Sebelum perlawanan bermula, Negeri Sembilan mempunyai peluang tipis untuk merebut tiket ke Piala AFC, dengan syarat mereka wajib menang ke atas Sri Pahang, sambil mengharapkan Sabah dan Terengganu kedua-duanya tewas kepada lawan masing-masing untuk melonjak ke tangga kedua.

Advertisements

Namun segalanya tidak menjadi buat skuad K.Devan di Kuantan, apabila mereka tidak dapat menterjemahkan prestasi terbaik sebaliknya tuan rumah kelihatan cukup bertenaga dari sepak mula.

Buktinya dalam 15 minit pertama, Sri Pahang kendalian Dollah Salleh tiga kali mencemaskan pintu gol Ahmad Syihan Hazmi – dua kali menerusi Sharul Nizam Mohd Nadzir dan sekali menerusi Manuel Hidalgo.

Minit ke-26, Ahmad Syihan akhirnya tertewas kepada tandukan David Rowley yang menyambut hantaran Hidalgo, hanya beberapa saat selepas dia menyelamatkan rembatan dilakukan Nor Azam Azih.

Advertisements

Sri Pahang mendominasi sepenuhnya perlawanan separuh masa pertama, dengan satu-satunya percubaan berjaya dilakukan Negeri Sembilan adalah pada minit akhir yang diselamatkan Mamadou Samassa.

Hanya tiga minit bersambung babak kedua, David Rowley meletakkan skuad tok gajah selesa 2-0, kali ini menerusi rembatan cantik dari luar kotak penalti.

Perlawanan menjadi bertambah rancak selepas itu, dengan kedua-dua pasukan saling berbalas serangan dan Rowley hampir sahaja melengkapkan hatrik pada minit ke-60 namun sepakannya diselamatkan Ahmad Syihan.

Advertisements

Tiga minit kemudian, peluang terbaik Negeri Sembilan mengurangkan defisit namun rembatan A.Selvan terkena tiang, manakala sepakan susulan Herold Goulon pula diselamatkan Samassa.

Samassa terus menjadi penyelamat buat Sri Pahang apabila menyelamatkan pula rembatan jauh pemain gantian, Izuddin Roslan pada minit ke-67.

Di sebalik peluang demi peluang yang dicipta, tiada tambahan jaringan disaksikan dan kedudukan kekal 2-0 sehingga wisel penamat.

Advertisements

Dengan kemenangan ini, Sri Pahang mengakhiri Liga Super 2022 di kedudukan ketujuh dengan 28 mata, berjaya memintas Kedah yang tewas 0-3 di tangan Terengganu.

Manakala Negeri Sembilan pula menamatkan musim di kedudukan keempat dengan 41 mata.

Weekly Contest & Free Gift

Join us on Telegram today.

Join Telegram