Lim Chan Yew Kongsi Pengalaman Berlatih Di Bournemouth
MakanBola
Selangor FC

Bekas pemain pertahanan kebangsaan, Lim Chan Yew mendedahkan beliau pernah berlatih bersama kelab Liga Perdana Inggeris (EPL), Bournemouth.

Pengalaman itu dikongsikan Chan Yew semasa menjadi tetamu program Borak Borak Botak baru-baru ini.

Bekas pemain pertahanan Selangor FC itu mendedahkan beliau menjalani latihan bersama The Cherries sebanyak dua kali pada Januari dan Julai 2005.

Pada ketika itu, Bournemouth beraksi dalam Liga Satu (divisyen tiga England). Semasa berlatih di Bournemouth buat kali pertama, Chan Yew disertai Fadzli Shaari dan Syamsuri Mustafa.

“Saya pergi dua kali sebenarnya. Saya pergi bulan Januari, pergi dengan tiga orang. Saya, Syamsuri (Mustafa) dan Fadzli Shaari.

“Kita pergi untuk sesi ujian. Kita pergi selama tiga minggu kemudian balik (ke Malaysia). Kemudian pada Julai, saya pergi lagi sekali sebab mereka hanya pilih saya seorang untuk pramusim,” katanya.

Meskipun berada di Bournemouth selama tiga minggu, Chan Yew tidak dapat beraksi di England. Ini selepas staf kejurulatihan The Cherries memaklumkan beliau tidak memiliki permit kerja.

Ini disebabkan kedudukan ranking FIFA Malaysia yang rendah pada ketika itu. Mana-mana pemain dari pasukan yang melebihi kelompok 70 pasukan teratas dunia termasuk Asia perlu beraksi di Eropah terlebih dahulu.

Setelah itu, barulah pemain berkenaan mendapat permit kerja yang diperlukan untuk beraksi di England.

Menariknya, berita Chan Yew menjalani sesi latihan kali kedua bersama Bournemouth turut dilaporkan oleh BBC Sport.