Liverpool Terduduk Dimalukan Man City
Dunia
CBS Sports Golazo
Advertisements

Liverpool kecewa gagal mara lebih jauh ke Piala EFL. Ini selepas kelab yang berpangkalan di Merseyside itu tewas tipis 3-2 kepada pasukan gergasi Manchester, Manchester City dalam perlawanan pusingan ke-16 Piala EFL di Stadium Etihad awal pagi ini.

Sebaik sepak mula, City mula mengasak The Reds dan membuka tirai jaringan menerusi Erling Haaland pada minit ke-10. Kombinasi Kevin de Bruyne dan pemain muda Cole Palmer bertukar hantaran ke sebelah kiri sebelum pemain tengah Belgium itu menghantar bola ke kotak penalti Liverpool. Bola tersebut gagal dihalang Joe Gomez dan membolehkan Haaland menewaskan penjaga gol Caoimhin Kelleher.

Tersentak, The Reds bangkit dan berjaya menyamakan kedudukan menerusi Fabio Carvalho 10 minit selepas itu. Bek tengah Joel Matip membuat satu hantaran mengelirukan kepada James Milner yang gagal dipintas beberapa pemain City. Bekas pemain Leeds United itu kemudiannya melorongkan bola kepada Carvalho sebelum menewaskan penjaga gol kedua Citizens, Stefan Ortega.

Advertisements

de Bruyne terus menjadi duri dalam daging kepada pertahanan Liverpool dengan menghantar bola tepat ke arah mereka. Dan ini mencetuskan huru-hara dalam kalangan pertahanan Reds apabila Ilkay Gundogan dan Nathan Ake menguji Kelleher dalam tempoh seminit tetapi berjaya dinafikan penjaga gol muda Wales itu. Reds juga hampir di depan menerusi Darwin Nunez tetapi keputusan 1-1 kekal sehingga rehat.

Selepas rehat, City kembali di hadapan menerusi Riyad Mahrez pada minit ke-47. Selepas menerima hantaran Rodri, pemain sayap Algeria itu menggelecek Andrew Robertson sebelum melepaskan sepakan lencong ke penjuru jauh gawang Reds.

Tetapi belum sempat penyokong Citizens berhenti meraikan gol bekas pemain Leicester City itu, Liverpool kembali mengikat kedudukan seminit selepas itu menerusi Mohamed Salah. Pemain gantian Alex Oxlade-Chamberlain melorongkan bola kepada Nunez ke sebelah kiri sebelum dilarikan penyerang Uruguay itu. Ake gagal mengesan kedudukan Salah dan itu memudahkan penyerang Mesir itu menyudahkan hantaran Nunez.

Advertisements

Bagaimanapun, bek tengah/kiri Belanda itu menebus kesilapannya dengan menjaringkan gol kemenangan pada minit ke-58. Sekali lagi, de Bruyne menjadi arkitek menerusi sepakan sudut pendek dengan Palmer. Dia kemudiannya membuat satu hantaran jauh ke arah gawang Reds yang mudah ditanduk Ake melepasi Kelleher.

Nunez kemudiannya hampir menyamakan kedudukan untuk Reds buat kali ketiga tetapi percubaannya tersasar. Pada minit ke-79, pergaduhan hampir tercetus babit kedua-dua pasukan apabila Fabinho membuat terjahan keras ke atas Rodri tetapi berjaya diredakan oleh pengadil. Keputusan 3-2 kekal sehingga tamat perlawanan.

Dengan kemenangan ini, Man City berjaya layak ke peringkat suku akhir Piala EFL. Mereka kini bakal bertemu Southampton di St Mary pada 10 Januari. Sementara Liverpool boleh memberi fokus kepada saingan EPL dengan bertandang ke Villa Park pada awal pagi 27 Disember menentang Aston Villa.

Advertisements
Weekly Contest & Free Gift

Join us on Telegram today.

Join Telegram