Luis Garcia Tinjau Kerja Penaiktarafan Stadium Sultan Ibrahim
MakanBola
Johor Southern Tigers

Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Johor Darul Ta’zim (JDT), Luis Garcia meninjau kerja-kerja penaiktarafan yang rancak berjalan di Stadium Sultan Ibrahim (SSI).

Selepas tamat musim 2024/25, pengurusan JDT mula melaksanakan kerja penaiktarafan SSI. Antaranya ialah penambahan ruang korporat, penambahbaikan tempat duduk penonton dan pemasangan padang baharu.

Kerja penaiktarafan ini bertujuan memastikan SSI sentiasa berada pada tahap yang terbaik dan boleh dimanfaatkan terutama pada hari perlawanan.

Selain itu, ini juga membantu pengurusan Harimau Selatan menjimatkan kos terutama dari segi penyelenggaraan.

Garcia membuat tinjauan sekitar SSI pada hari ini. Sebaik imej kerja penaiktarafan SSI dimuat naik ke platform Johor Southern Tigers, legenda Liverpool itu percaya ini akan membawa JDT ke satu tahap berbeza.

“Taraf (JDT) bakal meningkat,” katanya ringkas di ruang komen Instagram pasukan itu.

Komen beliau mencetuskan rasa teruja dalam kalangan penyokong berkenaan kerja penaiktarafan SSI.

“Suasana EPL,” komen seorang penyokong bernama Arjuna005_ di Instagram. Bagi seorang penyokong lain bernama Norizan Omar, ini menunjukkan JDT sentiasa berusaha untuk kekal sebagai yang terbaik terutama dari segi infrastruktur.

“Stadium sudah taraf kelas dunia pun tetap dinaik taraf semua aspek. Nak pemain-pemain dan semua staf lebih selesa dan terus mencintai kerja dan tanggungjawab mereka.

“Beruntungnya yang terpilih masuk dalam keluarga JDT ini kan. Terbaik semua aspek,” katanya di ruang komen Facebook.

JDT dijangka sibuk menjelang musim 2025/26. Selain mengharungi kempen domestik dan Liga Juara-Juara AFC Elit (ACLE), mereka juga bakal menjadi wakil Malaysia dalam Shopee Cup.